Syarikat China labur RM50j, buka kilang penggali terowong di Sendayan - Utusan Malaysia

Syarikat China labur RM50j, buka kilang penggali terowong di Sendayan

AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) melawat kilang pembuatan peralatan penggali terowong mikro pada Majlis Perasmian Pembukaan Kilang TangXing Equipment (M) Sdn. Bhd di Sendayan Tech Valley, Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah kilang pembuatan peralatan pembinaan penggali terowong mikro yang dibina di Sendayan Tech Valley, Bandar Sri Sendayan di sini akan membawa nilai pelaburan berjumlah RM50 juta ke negeri ini.

Pengurus Kumpulan TangXing Equipment Sdn. Bhd., Tang Su Wen berkata, selepas 30 tahun beroperasi, pihaknya memang berhasrat untuk membina dan mengembangkan perniagaan di negara ini.

“Selama 30 tahun, TangXing Equipment berkembang cepat daripada bengkel semi mesin ke silinder hidraulik dan kilang pembekal mesin pengorekan sistem terowong.

“Produk kami terdiri daripada pelbagai peralatan dengan saiz berbeza termasuk mesin pengorek tekanan tanah, air lumpur, batu keras, lumpur pekat serta peralatan mesin pengorek terowong,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Kilang TangXing Equipment (M) Sdn. Bhd. di Sendayan Tech Valley, Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

TangXing Equipment merupakan syarikat yang berasal dari bandar Huainan, Wilayah Anhui yang turut dikenali sebagai Bandar Sumber Tenaga. 

Sementara itu, Aminuddin turut berterima kasih kepada pihak TangXing Equipment kerana telah memilih Malaysia khususnya Negeri Sembilan sebagai lokasi pertama bagi pelaburan syarikat itu di luar China.

“Saya sangat berbangga dengan kejayaan pihak TangXing Equipment pelabur dari Wilayah Anhui, China yang telah berjaya membina sebuah kilang pembuatan peralatan pembinaan penggali terowong mikro yang dikenali sebagai Microtunnelling dan Pipe Jacking di negeri ini dengan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM50 juta.

“Di harap dengan pembukaan kilang ini ia bakal mewujudkan satu ekosistem baharu dalam rantaian industri kejuruteraan dan peralatan mesin serta jentera di negeri ini.

“Saya difahamkan bahawa kilang ini berupaya menghasilkan kapasiti tahunan sebanyak 50 set mesin penggali di mana 80 peratus daripada pengeluarannya akan dieksport ke pasaran Asia Barat dan Asia Tenggara. 

“Dengan memfokuskan pasaran eksport ke luar negara, pemilihan Negeri Sembilan sebagai tapak projek dilihat amat tepat berikutan kedudukan negeri ini yang sangat strategik.

“Negeri Sembilan terletak berhampiran dengan ibu negara Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang menjadikan ia sebagai salah sebuah destinasi pilihan utama pelabur,” katanya. 

Beliau dalam pada itu turut menyatakan penghargaan di atas peranan syarikat tempatan iaitu Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concept) yang komited dalam mengaturkan rombongan usahawan dari Anhui, China ke Negeri Sembilan.

“Saya percaya melalui usaha ini, ia dapat membantu kerajaan negeri dalam menarik kemasukan pelaburan asing baharu khususnya dari China serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya