Siapa poster boy PH-BN di Kedah?

Siapa poster boy PH-BN di Kedah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBAKI kurang dua bulan sahaja lagi sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 dibubarkan, Perikatan Nasional (PN) Kedah dikatakan masih memiliki tonik kemenangan 14 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu untuk diteruskan pula sepanjang Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

Bukan lagi rahsia apabila Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan terus diangkat sebagai poster boy PN pada kempen PRN nanti.

Bagaimanapun, tumpuan kini terarah kepada siapa pula yang akan dinamakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah untuk menyaingi Muhammad Sanusi kerana sehingga ke hari ini belum nampak sebarang ‘gerakan’ untuk ‘menggilap’ individu tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Situasi itu berubah apabila BN sudah pasti akan bekerjasama dengan PH di Kedah sebagai mengimbangi komposisi Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Ahli Parlimen kedua-dua gabungan itu. Maka ia sudah tentu memerlukan perbincangan amat serius dalam menamakan poster boy atau lebih tepat calon Menteri Besar.

Usai pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 baru-baru ini, pucuk pimpinan parti itu membuat perubahan apabila menamakan bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mahdzir yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah dari 2005 hingga 2008 dibantu bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai timbalannya.

Maka secara teori, Mahdzir merupakan pemimpin paling tinggi yang boleh diangkat sebagai poster boy sekiranya benar beliau akan kembali bertanding di peringkat DUN yang pernah dimenanginya di kerusi Pedu sebelum ke Parlimen Padang Terap.

Namun, seorang lagi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah turut berada dalam radar setelah kembalinya beliau ke arena politik dengan kemenangan semula sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar. Tetapi Ahmad Bashah awal-awal lagi mengakui tidak mahu sebarang ‘tugas’ lain.

Malah pada 2013, ketika beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Ahmad Bashah yang mengetuai BN negeri itu memenangi PRU13 tidak menjadi Menteri Besar kerana sanggup memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Oleh itu, jawatan kosong sebagai poster boy BN Kedah dikatakan masih terbuka ketika ini untuk diisi oleh sesiapa sahaja termasuk ketua-ketua UMNO bahagian atau calon daripada PH yang kini pemimpin tertingginya ialah Datuk Mahfuz Omar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini