SEREMBAN: Setiap organisasi dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memantapkan pengurusan masing-masing bagi memastikan insiden dan budaya buli dalam perkhidmatan itu dihentikan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak dapat dinafikan insiden buli berlaku di mana-mana organisasi namun bagi yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelanggaran disiplin, tindakan yang selaras dengan kesalahan yang dilakukan mesti diambil.
“Jika didapati pelanggaran perkhidmatan itu jelas dilakukan oleh mereka yang terlibat, pihak perkhidmatan akan mengambil apa juga tindakan selaras dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka.
“Ada sampai tahap yang boleh dibuang kerja jika didapati kes yang mereka lakukan itu benar-benar melanggar SOP perkhidmatan. Seperti saya katakan, SOP ada, undang-undang ada tetapi pelanggaran ada berlaku.
“Nasihat saya kepada yang terlibat dan berhasrat untuk jadi pembuli supaya hentikan, tumpukan kepada untuk menambah nilai kerja dan kalau tentera untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tuanku Jaafar Ke-26 di sini hari ini.
Mengulas mengenai kejadian terbaharu iaitu insiden pukul membabitkan pelatih tentera darat di sebuah kem tentera di Port Dickson seperti yang dilaporkan media semalam, Mohamad memaklumkan belum menerima maklumat mengenaiknya namun menyerahkan kepada pihak perkhidmatan tentera darat untuk melakukan siasatan.
Semalam media melaporkan, pihak polis kini menyiasat laporan kejadian pukul melibatkan pelatih tentera darat yang berlaku di sebuah kem tentera di sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, laporan polis berkaitan kejadian tersebut telah diterima pada 22 April dan siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 17 April 2023 lebih kurang pukul 10 pagi di sebuah kem latihan tentera di Port Dickson.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis masih meneruskan siasatan untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad menjelaskan, negara sememangnya mempunyai kepakaran membina kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersaiz kurang 100 meter namun masih lagi memerlukan kepakaran dari luar negara terutama berkaitan persenjataan dan alat komunikasi.
“Limbungan kapal kita memang telah lama mempunyai kepakaran untuk membina kapal tetapi ia kalau nak dikatakan zaman moden ini disebabkan oleh kecanggihan itu, ia belum berada di tahap yang baik.
“Bagaimanapun, tidak mustahil kita untuk membina kapal cumanya kita memerlukan teknologi dari rakan luar negara untuk membina alat komunikasi dan persenjataan,” katanya lagi.-UTUSAN.









