Sepasang kekasih mengaku bersalah buat aksi 'wheelie' 

Sepasang kekasih mengaku bersalah buat aksi ‘wheelie’ 

KEDUA-DUA remaja yang didakwa melakukan aksi 'wheelie' ketika menaiki motosikal di Jalan Chendor-Kuantan, di bawa keluar dari Mahkamah Trafik Kuantan selepas membuat pengakuan bersalah, di sini, hari ini. UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pasangan kekasih bawah umur didakwa atas kesalahan menunggang motosikal sambil melakukan aksi ‘wheelie’ yang berbahaya di Mahkamah Trafik Kuantan, dekat sini, hari ini.

Kedua- dua mereka yang berusia 17 tahun itu mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja lelaki terbabit didakwa sebagai penunggang motosikal jenis Honda EX5 warna putih atas jalan tersebut dengan cara mengangkat tayar hadapan dari jalan Chendor menghala ke arah Kemaman, manakala kekasihnya didakwa sebagai pembonceng yang telah membantu melakukan aksi tersebut.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan oleh kedua-dua tertuduh di Jalan Chendor menghala ke Kemaman, jam 5.30 petang, pada 12 Mac lalu. 

Kedua-duanya itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak lebih RM15,000. 

Sementara itu, lesen memandu tertuduh di endors oleh mahkamah dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu dalam tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan, jika sabitan kedua dan seterusnya, maka hilang kelayakan selama 10 tahun.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Nafizah Ismail menawarkan ikat jamin RM2,000 untuk setiap tertuduh namun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela meminta jaminan dikurangkan berikutan dari keluarga yang tidak berkemampuan. 

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM800 dengan seorang penjamin. 

Kes disebut semula pada 7 Jun depan bagi mendapatkan laporan akhlak. 

Terdahulu, pada Ahad lalu telah tular satu video berdurasi 54 saat di laman sosial, memaparkan pasangan kekasih tersebut melakukan aksi wheelie di Jalan Chendor menghala ke Kemaman. 

Namun, kedua- dua remaja itu ditahan pihak polis pada Isnin lalu, di hadapan rumah lelaki terbabit di Kampung Balok, di sini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN