Segera tingkat pengeluaran padi di Kedah

Segera tingkat pengeluaran padi di Kedah

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Aspek pengairan dan penjagaan dikenal pasti sebagai dua faktor utama yang membezakan jumlah pengeluaran padi di Kedah yang amat berkurangan jika dibandingkan dengan Selangor sejak beberapa musim lalu.

Menteri Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kadar tuaian padi di Kedah ketika ini hanyalah sekitar empat atau lima tan sehektar ketika hasil tuaian di Sekinchan, Selangor pula mampu mencecah antara lapan hingga 10 tan sehektar.

Menurutnya, perkara itu se­ring dibincangkan pihak kementerian dengan pelbagai usaha kini dijalankan bagi memastikan penghasilan padi di Kedah dapat lebih meningkat agar mampu menyaingi Selangor, selepas ini.

“Dalam hal ini, sistem pe­ngairan perlu lengkap dan betul, tetapi apa yang paling penting adalah penjagaan. Untuk mengusahakan bendang, perkara itu tidak boleh dijalankan secara sambilan sebaliknya memerlukan tumpuan 100 peratus.

“Saya lihat di Sekinchan, mereka betul-betul buat bendang. Apabila matahari cerah saja, mereka sudah masuk ke sawah setiap hari, kecuali pada waktu cuti yang sudah diatur.

“Dalam masa sama, aspek pengairan dan pembajaan juga perlu betul. Di Kedah ini, kita mahu tuju ke arah itu dan isu perbezaan hasil ini sememang­nya disedari kementerian serta sering dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Libat Urus Menteri Bersama Usahawan Harumanis di Pusat Pengumpulan Ladang, Kampung Pida 3 dekat Kodiang di sini, semalam.

Mohamad menambah, jika penghasilan padi di seluruh negara dapat ditingkatkan kepada enam tan sehektar, maka, negara tidak perlu lagi mengimport beras untuk kegunaan rakyat, kecuali beras berharga mahal seperti basmathi.

“Antara usaha untuk memastikan penjagaan padi yang lebih baik adalah penanaman padi berskala besar. Sewaktu orang muda banyak berhijrah ke bandar seperti Pulau Pinang serta Kuala Lumpur, maka, kita berusaha cantumkan tapak sawah itu untuk dijadikan skala besar serta menjaganya dengan lebih baik, bergantung kepada persetujuan petani.

“Di Perlis pun sebelum ini, ramai petani sudah terlibat dengan skim skala besar dan penanaman padi ala Sekinchan bagi meningkatkan hasil tuaian mereka. Padi mereka ditanam menggunakan mesin dengan pelbagai aspek termasuk rumput dijaga rapi dan dalam masa sama, kita sedang bergerak untuk menggunakan baja organik sedikit demi sedikit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya