Saksi, suspek, mangsa kes buli pelatih TUDM dipanggil beri keterangan - Utusan Malaysia

Saksi, suspek, mangsa kes buli pelatih TUDM dipanggil beri keterangan

RAMLI Mohamed Yusoof (dua, kiri) memeriksa perbarisan ketika menghadiri Perhimpunan Khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai enam suspek dipercaya terlibat dalam kes buli membabitkan lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan di sini pada 12 Mei lalu dipanggil untuk membantu siasatan kejadian tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek terbabit tidak ditahan sebaliknya hanya dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Setakat ini, kita sudah merakam lebih 10 keterangan daripada saksi termasuk suspek dan mangsa namun siasatan lanjut masih berjalan.

“Kita akan memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia untuk mendapatkan seberapa banyak keterangan berhubung kes terbabit,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Ramli berkata, siasatan kes berkenaan dijangka tidak mengambil masa lama memandangkan lokasi terhad malah tidak membabitkan saksi bebas.

Jelasnya, sebarang kes membabitkan penjawat awam, prosedur siasatannya tetap sama jika kerana kesalahannya juga sama.

“Sekiranya didapati ada elemen pelaku telah dikatakan melakukan kesalahan itu dan pada pendapat Timbalan Pendakwa Raya, perkara ini perlu dibawa untuk pertuduhan maka kita akan teruskan.

“Kita nak ingatkan kepada semua pihak yang diberi kuasa terutama dalam konteks pusat latihan supaya perkara seperti ini dapat dibendung. Kadang-kadang wujud juga persepsi bahawa benda seperti ini berlaku adalah satu ciri atau karakteristik yang menjadi budaya,” katanya.

Terdahulu, terdapat laporan akhbar menyiarkan terdapat lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.

Susulan daripada itu, ia terbongkar apabila keluarga daripada salah seorang mangsa membuat laporan polis dan turut memuat naik kes itu di laman sosial ‘Twitter’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya