PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak terkesan dengan tindakan calon jemaah kumpulan T20 menolak tawaran ibadah itu memandangkan masih ramai rakyat Malaysia yang menanti peluang berkenaan.
Malah, calon jemaah kumpulan T20 disifatkan rugi menolak tawaran tersebut kerana nama mereka kembali ke dalam senarai menunggu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Gemilang Travel and Tours Sdn. Bhd, Datuk Ayob Mat Aris berkata, jika kumpulan T20 menolak tawaran menunaikan ibadah haji pada tahun ini, ia akan membuka ruang kepada individu lain untuk menggantikan tempat mereka.
Menurutnya, jumlah yang menunggu untuk menunaikan haji adalah lebih tinggi berbanding kuota yang diperoleh Tabung Haji iaitu sebanyak 31,600 sahaja.
“Pada saya yang rugi adalah kumpulan tersebut (T20) kerana menolak tawaran berkenaan padahal mereka sudah menunggu lama untuk mendapat peluang sedemikian.
“Jika penolakan tawaran tersebut dilakukan atas alasan berbezaan kos dikenakan antara T20, M40 dan B40, perlu diingat bahawa kadar sebenar melaksanakan ibadah haji adalah jauh lebih tinggi atas pelbagai faktor terutamanya ekonomi masa kini,” katanya ketika dihubungi.
Jelas beliau, kos haji pada tahun ini meningkat mendadak atas pelbagai faktor antaranya nilai matawang ringgit yang menyusut, kos penginapan, jumlah jemaah dan sebagainya.
“Saya tak bersetuju jika semua kesalahan itu diletakkan kepada Tabung Haji sedangkan kos melakukan ibadah tersebut sememangnya meningkat sebagai contoh harga hotel pada musim berkenaan naik 100 peratus,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan terdapat calon jemaah haji dalam kumpulan T20 didakwa menolak tawaran menunaikan ibadah itu bagi musim 1444 Hijrah tahun ini dengan alasan kurang mampu kerana tidak menerima subsidi.
Tindakan tersebut dikatakan disebabkan mereka terpaksa membayar kos penuh iaitu sekitar RM30,850 sedangkan golongan M40 dan B40 menikmati subsidi daripada Tabung Haji.
Sebagai rekod, kuota ibadah haji bagi Malaysia tahun adalah sebanyak 31,600 jemaah dengan penerbangan pertama ke Mekah dijadualkan pada 21 Mei ini. Sebarang jumlah tambahan kuota haji hanya akan diketahui sebelum tarikh itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr. Fathir Badri Alhadad pula menyuarakan pendapat berbeza apabila bersetuju dengan tindakan kumpulan T20 tersebut.
Alasannya, mengapa Tabung Haji perlu meletakkan ‘kasta’ dalam menguruskan jemaah haji tahun ini sedangkan ketika pendaftaran syarat tersebut tidak pernah dimaklumkan.
“Mereka yang layak menerima tawaran haji tahun ini pastinya sudah menunggu sekurang-kurangnya 10 hingga 20 tahun untuk mendapat peluang ini, namun ketika daftar dengan meletakkan wang simpanan RM1,500 di dalam akaun, mereka tidak dimaklumkan pula mengenai ‘pengkastaan’ itu.
“Tiba-tiba tahun ini ketika dapat tawaran, mereka perlu membuat pembayaran penuh dengan perkhidmatan sama dengan B40 dan M40. Jadi ia tidak adil kepada kumpulan tersebut,” katanya. – UTUSAN










