Poster Boy bukan perkara utama Pas - Mohd. Amar

Poster Boy bukan perkara utama Pas – Mohd. Amar

MOHD. Amar Nik Abdullah (kiri) ketika melancarkan gimik sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke 52 Peringkat Kelantan di Taman Eko Rimba Jeram Linang, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pas Kelantan melihat gerak kerja di peringkat jentera pilihan raya dan akar umbi lebih penting berbanding membincangkan soal siapa yang akan ditampilkan sebagai ‘Poster Boy’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, gerak kerja itu lebih penting berbanding ‘Poster Boy’ dalam usaha mengekalkan tampuk pentadbiran Pas di Kelantan selepas PRN nanti.

“Buat ada ‘Poster Boy’ macam parti lain yang akhirnya menerima kekalahan. Rakyat Kelantan tidak menilai sesiapa pun yang bakal ditampilkan dalam poster ketika berkempen.

“Hal ini kerana mereka sudah tahu dan mempunyai niat untuk menyokong parti yang akan dipilih pada PRN nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan, di Eko Rimba Jeram Linang, di sini, hari ini.

Mohd. Amar yang Timbalan Menteri Besar memberitahu, strategi kempen dan gerak kerja Pas tidak boleh disamakan dengan parti-parti lain.

Katanya, hal ini kerana parti itu memiliki cara tersendiri berasaskan kerjasama, muafakat dan kesepaduan semua pihak bermula dari peringkat kepimpinan hingga ke akar umbi.

“Sasaran utama ialah kemenangan dan mempertahankan sokongan rakyat. Poster Boy cerita lain yang tidak diberi fokus utama. Kita ada strategi yang tersendiri.

“Pas yakin mengekalkan kemenangan dengan pertambahan majoriti sokongan berdasarkan situasi dan perkembangan politik semasa yang dinilai sendiri oleh rakyat,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN