PH-BN semakin senada di N. Sembilan

PH-BN semakin senada di N. Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGAGIHAN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi berdepan saingan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan tidaklah begitu merumitkan.

Faktor utama ia dijangka dapat diselesaikan lebih mudah sudah tentu kerana kese­luruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini dimenangi oleh kedua-dua parti berkenaan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Jika status quo yang menjadi formula pertama perundingan kerusi di antara kedua-duanya diguna pakai, jelas percaturannya nanti PH akan bertanding di 20 buah kerusi dimenanginya manakala BN pula kekal di 16 buah kerusi mereka.

SEPAKAT

PH di Negeri Sembilan yang mentadbir kerajaan negeri pada hari ini dilihat berpuas hati dengan prinsip yang telah disepakati itu manakala di pihak BN pula hanya mempunyai permintaan kecil iaitu supaya mereka diberikan tambahan dua kerusi lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjelaskan, permintaan berkenaan sebagai asas untuk memberikan ke­seimbangan di antara kedua-dua gabungan parti yang kini dalam proses mengenali hati budi dan membentuk kepercayaan.

Jalaluddin juga memaklumkan, permintaannya itu juga dengan harapan di setiap Parlimen di negeri ini terdapat sekurang-kurangnya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN. Selepas PRU14, di Parlimen Rasah dan Seremban, BN tidak mempunyai walau seorang ADUN.

Jika ada yang menyangkakan PH dan BN bakal berdepan polemik dalam rundingan kerusi susulan permintaan UMNO Negeri Sembilan itu, apa yang boleh dikatakan setakat ini, sangkaan tersebut nampaknya meleset.

Maklum balas Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke Siew Fook pula nampak kukuh dan tidak pula melenting.

Bagi mereka itu perkara biasa dalam setiap perundingan apatah lagi nada Jalaluddin juga ketika menyatakan permintaan itu bukanlah mendesak sebaliknya dengan lunak dan mesra.

Memasuki tempoh menuju rundingan rasmi di peringkat negeri untuk PH dan BN yang dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat, hubungan di antara kedua-dua gabungan parti nampak semakin erat.

Masing-masing semakin senada dan dilihat bersedia untuk berlapang dada dengan apa juga keputusan akhir rundingan kerusi itu nanti. Mungkin mereka kini sudah ditanam sasaran bahawa apa juga berlaku, ke­semua kerusi yang ditandingi mesti dimenangi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN