SEREMBAN: Membina baharu dan membaik pulih rumah merupakan permohonan bantuan yang sering diterima dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pada tahun ini sahaja pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM menerusi Inisiatif Perumahan Veteran telah menerima sehingga 70 permohonan untuk bantuan membina baharu rumah walaupun peruntukan yang disediakan hanya untuk membina 40 buah rumah baharu.
“Kalau kita lihat berdasarkan permintaan memang banyak, keperluan kami tahun ini adalah sebanyak 40 buah rumah bina baharu bagi mereka yang mempunyai tanah tetapi yang memohon sehingga 70 orang. Memang permohonan lebih banyak berbanding peruntukan tetapi kami berusaha untuk memenuhi keperluan itu.
“Kami saban tahun meningkatkan peruntukan itu, sebagai contoh tahun lepas jumlah peruntukannya adalah untuk pembinaan sekitar 26 buah rumah tetapi tahun ini kami tingkatkan kepada 40 buah rumah.
“Bagaimanapun, kami buat penilaian juga, keutamaan diberikan kepada veteran tentera dalam kelompok berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk bagi bantuan pembaikan rumah dengan sasaran sebanyak 400 buah rumah pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni seorang veteran tentera tidak berpencen, Zakaria Manaf, 69, yang menghidap angin ahmar di Taman Desa Rhu, Sikamat di sini hari ini.
Menerusi Program Peduli Veteran (PPV) itu, Adly sebelum itu turut mengunjungi dua orang lagi veteran tentera iaitu yang turut menghidap strok dan seorang veteran yang merupakan penerima Inisiatif Perumahan Veteran (Bina Baharu).
Dalam pada itu, beliau berkata, selain hal kebajikan veteran tentera, tumpuan juga kini diberikan pihaknya dalam menyediakan kerjaya kedua kepada golongan tersebut.
“Kalau kita sebut veteran tentera ramai yang beranggapan ia melibatkan umur 60 dan 70 tahun sedangkan seawal 38 tahun juga sudah jadi veteran, itu sebab perkara penting yang kami susun adalah kerjaya kedua mereka.
“Setiap tahun hampir 5,000 tentera yang akan menamatkan perkhidmatan dan menjadi veteran, hampir 60 peratus mereka memilih bidang keusahawanan, tetapi kami menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) juga memberikan fokus dalam aspek penempatan pekerjaan.
“Bagi kami, bidang pekerjaan juga memberikan peluang yang baik juga, kami berikan kedua-dua peluang ini iaitu keusahawanan atau pekerjaan kepada veteran ini, mereka boleh pilih tetapi yang lebih penting mereka mempunyai pendapatan selepas berpencen dan bersara,” katanya.-UTUSAN.