UKM temukan rangka manusia prasejarah, artifak di Nenggiri

Penyelidik UKM temukan rangka manusia prasejarah, artifak di Nenggiri

RANGKA manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/IHSAN MOTAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kumpulan penyelidik dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menemukan rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri di sini semalam.

Kesemua artifak itu ditemukan semasa kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Felo Kanan Atma Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli semasa menjalankan kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berkata, penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Keledung Kecil merupakan antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara. 

Menurutnya, ia secara tidak langsung, ia dapat menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkait amalan pengebumian dan evolusi sosio-budaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri.

“Rangka manusia tersebut berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya. Kedudukan melipat sepenuhnya ini merupakan posisi yang hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung.

“Menariknya, rangka ini adalah asosiasi artifak yang berada di sekelilingnya yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur. Tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Unit Komunikasi Korporat Motac memberitahu, turut ditemukan di sekeliling rangka itu alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh.

Katanya, kesemua barangan itu diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah.

“Cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemui itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun yang lalu. Sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik.

“Sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah ini akan dibawa keluar dari Gua Keledung Kecil dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh,” ujarnya.

Unit Komunikasi Kororat Motac berkata, Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Kelantan akan memastikan penemuan ini dapat dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsikan juga kepada orang ramai.

“Sebuah galeri mini akan dibangunkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran dengan Empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuklah rangka yang dijumpai di Gua Keledung Kecil. 

“Kewujudan galeri tersebut pastinya akan menjadi aset dan produk pelancongan berasaskan warisan serta budaya untuk menarik pelancong datang ke Lembah Nenggiri. Impaknya amat positif kepada rantaian sektor perkhidmatan di mana limpahan ekonomi serta kemakmurannya akan dinikmati oleh rakyat tempatan secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.