Pengasuh didakwa aniaya kanak-kanak lelaki tiga tahun - Utusan Malaysia

Pengasuh didakwa aniaya kanak-kanak lelaki tiga tahun

NG SHU TIAN mengaku tidak bersalah atas tuduhan menganiaya kanak-kanak berusia tiga tahun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penjaga pusat asuhan kanak-kanak swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada 22 Mei lalu.

Tertuduh, Ng Shu Tian, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di bawah jagaannya di sebuah pusat asuhan kanak-kanak swasta di Taman Molek, Johor Bahru kira-kira 4 petang, 22 Mei lalu

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar, manakala tertuduh diwakili peguam bela Chuah Shyue Chien dan Ooi Hong Ming.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan  memerintahkan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di Balai Polis Bukit Gambir, Muar setiap bulan.

Ahmad Kamal menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya