JERANTUT: Pelbagai ragam murid namun antara yang tidak boleh dilupakan ditendang di perut ketika sarat mengandung semasa mengajar di sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norhafizah Ismail, 38, berkata, ketika kejadian tahun 2012, beliau yang hamil anak pertama tujuh bulan mahu meleraikan pergaduhan antara tiga murid PPKI yang hiperaktif.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba salah seorang daripada mereka menendang perutnya.
“Saya sakit sehingga terduduk seketika. Seorang murid perempuan autisme membantu saya duduk. Alhamdulillah kandungan saya tidak terjejas,” cerita Norhafizah.
Menurutnya, selepas kejadian itu, dia lebih berhati-hati menguruskan karakter murid PPKI termasuk sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kelas.
Menurut Norhafizah, pada awal kerjayanya di sekolah itu, terdapat tujuh murid PPKI dikategorikan sebagai hiperaktif, autisme, cacat anggota seperti pendengaran, nonverbal dan pelbagai masalah pembelajaran.
Katanya, dia bersama dua guru lain serta pembantu pengurusan murid (PPM) menjaga mereka seperti anak sendiri.
“Ada dua murid yang tidak mampu berdiri dan berjalan. Jadi keperluan ke tandas dibantu seperti bayi dan membersihkan kekotoran najis seperti anak sendiri,” katanya.
Cerita pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaya itu, dalam tempoh 13 tahun mengajar di PPKI beliau gembira kerana berpeluang memberi khidmat kepada anak-anak istimewa.
“Penat tidak mengatasi kegembiraan saya mengajar di sini,” katanya. – UTUSAN











