SEREMBAN: Seorang pemandu sebuah treler yang membawa muatan kereta mengalami kecederaan parah selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dalam kejadian di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 10.15 pagi tadi melibatkan sebuah treler jenis Volvo yang membawa muatan enam buah kenderaan jenama Proton pelbagai jenis yang belum didaftarkan.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati treler itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 49 tahun yang bergerak dari Tanjung Malim, Perak menuju ke Johor Bahru.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, treler yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar tembok kiri pembahagi lebuh raya seterusnya terbabas ke arah tembok tengah pembahagi lebuh raya.
“Impak perlanggaran tersebut telah menyebabkan mangsa iaitu pemandu treler tercampak keluar dari kenderaan yang dipandunya manakala sebanyak tiga buah muatan kereta yang dibawa turut tercampak jatuh di atas jalan raya.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah dibawa ke unit kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan sedang menerima rawatan di zon merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sementara itu, pihak PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menerusi akaun Twitter memaklumkan, kejadian mengakibatkan kesesakan kenderaan sepanjang 10 kilometer selepas lorong kanan dan lorong tengah di lokasi tersebut ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.
Setakat pukul 12.55 tengah hari tadi, semua laluan telah dibuka namun kenderaan masih bergerak perlahan.-UTUSAN.