PDRM sedia laporan lengkap dakwaan 125 laporan salah laku tidak diambil tindakan - Utusan Malaysia

PDRM sedia laporan lengkap dakwaan 125 laporan salah laku tidak diambil tindakan

YAHAYA Othman (kanan) menerima dokumen serah terima tugas selepas dilantik sebagai Ketua Polis Pahang ke-35 menggantikan Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) yang akan mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyediakan laporan lengkap berkaitan dakwaan 125 laporan salah laku anggota agensi keselamatan itu yang belum diambil tindakan seperti didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan dibuat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Menurutnya, pihaknya juga akan memaklumkan kepada SPRM berhubung tindakan yang sepatutnya diambil oleh jabatan tersebut terhadap 125 anggota terbabit.

Tegasnya, PDRM tidak pernah berkompromi dan mengambil ringan isu berkaitan tindakan tatatertib yang perlu diambil kepada mana-mana pegawai dan anggota yang dipercayai melakukan kesalahan tatatertib.

“Apa yang berlaku kita akan sentiasa memberikan kerjasama bukan sahaja kepada SPRM tetapi juga SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) untuk memaklumkan tentang tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil jika kita dimaklumkan perkara tersebut.

“Saya telah pun menyediakan laporan lengkap tentang perkara ini dan akan meneliti laporan-laporan yang masih belum dilaporkan kepada SPRM tentang apa tindakan-tindakan yang akan diambil kepada pegawai kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai Ketua Polis Pahang ke-35 menggantikan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang akan mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataannya mendedahkan bahawa beberapa agensi kerajaan mengabaikan 553 laporan salah laku kakitangan mereka walaupun pihaknya mengesyorkan untuk mengambil tindakan.

Azam dilaporkan sebagai berkata, daripada 553 laporan itu 125 daripadanya membabitkan anggota PDRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya