Papan iklan tidak berlesen ancam keselamatan pengguna lebuh raya - Utusan Malaysia

Papan iklan tidak berlesen ancam keselamatan pengguna lebuh raya

PAPAN iklan (billboard) tanpa lesen yang dimusnahkan dalam operasi bersepadu oleh pihak MBS dan Pejabat Daerah Seremban di Kilometer 277.7 Lebuhraya Utara Selatan dekat Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Terdapat sebanyak 243 papan iklan (billboard) tidak berlesen mampu mendatangkan risiko dan membahayakan pengguna yang melalui Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sepanjang kawasan Seremban sehingga Nilai.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, ketika ini hanya terdapat sebanyak 28 tapak papan iklan berlesen di lebuh raya itu iaitu 10 tapak di kawasan Seremban manakala 18 tapak lagi di kawasan Nilai.

“Apabila berlesen dengan MBS, kami bertanggungjawab memastikan iklan yang dipaparkan dan struktur terbabit tidak membahayakan orang ramai. Terdapat beberapa kejadian ribut menyebabkan papan iklan terjatuh dan membahayakan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Antara MBS dan Pejabat Daerah Seremban Bagi Membanteras Papan Iklan Haram di Kilometer 277.7 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini hari ini.

Katanya, operasi tersebut dijalankan rentetan daripada hasil Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Papan Iklan Luar Kawasan Majlis Bandaraya Seremban yang telah diadakan pada 25 Mei 2023 yang lalu.

Dalam pada itu, jelas Masri, Setakat ini, terdapat dua buah papan iklan tidak berlesen telah dirobohkan oleh pihak MBS pada bulan ini. 

“Setakat ini, kami telah memberi notis dan ada syarikat (papan iklan) yang tidak memberi maklum balas iaitu notis selama 14 hari. Mana-mana syarikat yang tidak memberi maklum balas kami akan mula mengambil tindakan. 

“Ada beberapa syarikat telah berhubung namun setakat ini tiada tindakan lanjut. Sekiranya ada syarikat yang bertemu dengan kami berkemungkinan boleh kita berbincang terutama mengenai struktur bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya terjamin,” katanya.

MASRI Razali dalam sidang akhbar di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, katanya, pada 11 Mei tahun lalu, pihak Yayasan Negeri Sembilan (YNS) telah dilantik semula sebagai One Stop Agency (OSA) dalam pengurusan dan pemasangan papan iklan luar di negeri ini termasuk jenis iklan free standing billboard, unipole, iklan elektronik dan LED screen sedia ada.

“Pihak YNS bertanggungjawab untuk menyelaras pemasangan papan iklan luar jenis tersebut bagi memastikan papan iklan dipasang mengikut peraturan yang ditetapkan di dalam undang-undang sedia ada.

“Ia termasuk memastikan struktur papan iklan yang dipasang mendapat kelulusan jabatan-jabatan berkaitan seperti MBS, Pejabat Tanah dan Daerah Seremban, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Tambah beliau, perkara yang perlu dilaksanakan dalam pemasangan struktur papan iklan luar dan pameran visual iklan adalah seperti mendapatkan kebenaran pemilik tanah, mendapatkan kelulusan permit ruang udara dari Pejabat Tanah dan Daerah Seremban serta mendapatkan kelulusan permit bangunan dan kelulusan lesen pemasangan visual iklan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya