PETALING JAYA: Kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi direkodkan paling banyak dikesan dalam Op Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini kelmarin.
Dalam operasi pukul 9 malam, sebanyak 48 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh sepasukan pegawai dan anggota EMPV Zon Tengah B JSPT Bukit Aman.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Nasri Omar berkata, operasi itu hasil kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Berhad.
“Polis mengeluarkan sebanyak 48 saman kepada pemandu dan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Kesalahan nombor pendaftaran kenderaan adalah paling tinggi iaitu 19, diikuti tiada lesen memandu (9), tidak pamer P (4), cermin sisi (4) dan lain-lain.
“Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 77 saman manakala JAS tujuh saman membabitkan empat motosikal serta tiga lori atas kesalahan ekzos bising dan asap hitam,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai 11 lelaki tempatan berusia 20 hingga 35 tahun turut ditahan AADK selepas i positif dadah.
Katanya, mereka memberi alasan mengambil dadah kerana tekanan, menghilangkan rasa mengantuk dan pujukan rakan.
Tegasnya, operasi ini bertujuan untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa mengikut undang-undang dan peraturan lalu lintas, sekali gus mencegah kes kemalangan jalan raya.
“JSPT komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar kita semua kekal selamat semasa berada di atas jalan raya,” ujarnya.- UTUSAN