Negeri Sembilan perlu stadium baharu - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan perlu stadium baharu

KETIADAAN stadium alternatif untuk penganjuran perlawanan bola sepak dan sukan padang lain di Negeri Sembilan menyebabkan projek membaik pulih dan menaik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman, di Paroi, Seremban sukar dijalankan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Terdapat keperluan untuk Negeri Sembilan mempunyai sebuah stadium baharu bagi penganjuran pelbagai sukan padang sebagai tambahan kepada stadium sedia ada iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani berpandangan, keperluan tersebut memang ada asasnya selepas masalah timbul apabila projek-projek menaik taraf yang dirancangkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman tidak dapat dilaksanakan.

Jelas beliau, ia ekoran ketiadaan kemudahan serupa di negeri ini sebagai ganti jika stadium tersebut ditutup sepanjang pelaksanaan projek baik pulih berkenaan.

“Sebagai contoh, apabila kerajaan Persekutuan menawarkan untuk taja penukaran rumput baharu serta kita pula mahu menaik taraf untuk letak kerusi bernombor, kita hadapi masalah untuk teruskan projek berkenaan.

“Ini kerana stadium terpaksa ditutup, perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Negeri Sembilan FC  dan penganjuran sukan-sukan lain nanti mahu dibuat di mana? Memang ada keperluan untuk buat stadium baharu yang canggih dan lengkap dengan kemudahan apabila ada kerja-kerja baik pulih Stadium Tuanku Abdul Rahman,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Himpunan Sepak Takraw Negeri Sembilan anjuran Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan dan Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) di sini hari ini.

MOHAMAD Taufek Abd. Ghani (empat dari kanan) bersama sebahagian tetamu termasuk bekas pemain sepak takraw Negeri Sembilan era 1970-an yang hadir pada Himpunan Sepak Takraw Negeri Sembilan anjuran Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan dan Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Mohamad Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi menambah, stadium baharu itu juga sebagai persediaan sekiranya Negeri Sembilan dipilih untuk sekali lagi menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) kelak.

“Negeri Sembilan juga sudah lama tidak adi tuan rumah Sukma, kali terkahir pada tahun 2004. Saya ada menyebut ada Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri keperluan untuk Negeri Sembilan bersedia jadi tuan rumah, Menteri Besar juga faham dan perlunya ada peruntukan untuk disediakan prasarana sukan tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, pembangunan sukan sepak takraw akan terus diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri ini apatah lagi selepas beberapa kejayaan dicapai pasukan dari negeri ini dalam sukan tersebut di peringkat kebangsaan.

“Mereka juga sudah buktikan kejayaan mereka termasuk menerusi pasukan Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) tahun lalu. Kehadiran ramai pemain-pemain veteran pada hari ini juga dapat berkongsikan pengalaman dan pengetahuan mereka dalam membantu pembangunan sukan sepak takraw di negeri ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya