Murid ditampar guru besar, KPM tunggu laporan siasatan

Murid ditampar guru besar, KPM tunggu laporan siasatan

FADHLINA Sidek (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar sekolah menengah pada program Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan seorang murid tahun lima yang ditampar guru besar di sebuah sekolah di sini pada Mac lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM mengambil maklum perkara tersebut dan sudah menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pihak berkuasa dalam kes tersebut.

“Kebiasaannya, tindakan akan diambil oleh pihak kementerian selepas prosedur siasatan kes selesai.

“Jadi, beri ruang kepada proses yang sedang berlaku. Suka saya ingatkan bahawa negara ini ada hukum dan prosesnya mesti berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, seorang murid perempuan berusia 11 tahun trauma untuk ke sekolah selepas ditampar oleh guru besar di hadapan murid-murid lain di dalam dewan sebuah sekolah di sini pada Mac lalu.

Berikutan kejadian itu, kanak-kanak terbabit masih takut untuk ke sekolah sehingga hari ini dan sering memberi alasan tersebut untuk tidak hadir ke sekolah.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 31, mendakwa, anaknya pulang dari sekolah dalam keadaan menangis sebelum memaklumkan bahawa dia dan seorang rakan ditampar guru besar hanya kerana bersembunyi di dalam tandas.

Dakwanya, guru besar itu tidak memberikan alasan yang munasabah apabila membawa anak dan rakannya ke dewan sekolah terbabit sebelum menampar pipi mereka.

“Anak saya memaklumkan bahawa dia hanya pergi ke tandas. Dia bersembunyi di tandas itu apabila dipanggil oleh guru besar terbabit.

“Walaupun kejadian itu berlaku hampir tiga bulan lalu, anak saya asyik menangis apabila teringat-ingat insiden terbabit. Dia juga masih takut ke sekolah apabila sering ponteng dua hari setiap minggu,” dakwanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini kelmarin.

Nurul memberitahu, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri di sini pada 30 Mac lalu sebelum dipanggil oleh pihak sekolah untuk mengadakan perbincangan.

“Saya agak kecewa apabila Pejabat Pendidikan Daerah tidak mengambil tindakan terhadap kes yang berlaku kepada anak saya,” dakwanya.

Menurut Nurul, sehubungan itu, dia telah membuat laporan polis kedua berhubung kejadian itu di balai polis sama pada Rabu lalu.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya