KUALA LUMPUR: Dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa mengisytiharkan parti politik yang dinaungi masing-masing untuk patuh kepada peringatan Yang di-Pertuan Agong.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, peringatan itu merujuk kepada titah Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu yang mahukan kestabilan politik negara sebagai keutamaan dan pemimpin tersebut perlu akur dengan ketetapannya.
“Ini (gesaan Kit Siang) adalah mesej disampaikan Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan baginda ketika perasmian Parlimen ke-15 pada Februari lalu, namun, ia tidak diikuti sejak tiga bulan lalu.
“Ia satu ujian sama ada pemimpin politik bersedia membelakangkan kepentingan peribadi dan parti politik mereka demi kepentingan negara.
“(Pengisytiharan pematuhan ini) sekali gus (Muhyiddin dan Abdul Hadi) tidak terbabit sebarang rancangan menjatuhkan untuk lima tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin dan Abdul Hadi masing-masing merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu merujuk kepada kenyataan yang disuarakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan meskipun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berakhir, enam bulan lalu.
Titah Sultan Ibrahim, rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara harus diutamakan.
Baginda juga menegaskan rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU-15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
Pada Mac lalu, Abdul Hadi mencetus kontroversi di Parlimen selepas mengeluarkan pandangan bahawa usaha menumbangkan kerajaan ‘dalam masa terdekat’ adalah sesuatu yang dibolehkan, kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan, beliau tidak melangkaui titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sebuah kerajaan stabil dan mengekalkan kerajaan pimpinan Anwar sehingga habis penggal.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini merupakan kerajaan kuat dan stabil dengan sokongan melebihi dua per tiga atu 148 Ahli Parlimen.
Anwar sebelum ini dilaporkan tidak menolak wujud konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, namun menegaskan ia sebagai tidak berasas. -UTUSAN










