SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) baru-baru ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan rangkaian makanan segera terbesar dunia, McDonald’s yang telah memilih lokasi cawangan terbaharu mereka di Bandar Sri Sendayan di sini.
Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Ho Kong Soon berkata, kehadiran syarikat McDonald’s di Bandar Sri Sendayan di sini dilihat dapat meningkatkan gaya hidup kawasan perbandaran perumahan tersebut ke arah lebih baik.
“Kerjasama bersama McDonald’s Malaysia itu adalah sebagai sebahagian daripada rancangan berterusan menerusi beberapa siri inisiatif untuk mempertingkatkan lagi kemampanan perbandaran ini. Lebih 120,000 penduduk di seluruh kawasan pembangunan Bandar Sri Sendayan akan mendapat manfaat menerusinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, cawangan baharu restoran McDonald’s itu akan dibuka di Sendayan Merchant Square yang dilengkapi dengan konsep makan di restoran dan pandu lalu.
Ia akan dibina di atas tanah berkeluasan 21,000 kaki persegi dalam kawasan komersial yang sudah mempunyai pelbagai tarikan termasuk d’Tempat Country Club, Matrix Global Schools, Sendayan X-Park, stesen minyak dan premis perniagaan.
Berada di kawasan tumpuan dan mempunyai kemudahan yang selesa, restoran McDonald’s itu dijangka akan menjadi destinasi pilihan orang ramai.-UTUSAN.










