ALOR SETAR: Sistem pengairan yang bermasalah di sesetengah kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) didakwa menjadi antara punca pengeluaran hasil padi tidak setinggi seperti di Sekinchan, Selangor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, pengairan di kebanyakan kawasan tanaman padi di negeri ini berunsur tradisi sejak puluhan tahun lalu berbanding apa yang dilaksanakan di Sekinchan.
“Sistem pengairan kita tidak boleh dibuat seperti di Sekinchan kerana kedua-duanya jauh berbeza. Sekinchan membangunkan sistem pengairan dahulu baru diusahakan bendang manakala kita pula bendang-bendang yang ada sudah lama, jadi sistem pengairan mungkin tidak secekap mereka.
“Tetapi kita sentiasa menambah baik dengan menghasilkan tanaman dua musim setahun berbanding sekitar tahun 1970-an dahulu yang fokus kepada tanaman setahun sekali,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai kaedah penanaman padi konvensional yang tidak efisien menyebabkan Malaysia kerugian RM1.8 bilion setahun kerana mengimport satu juta tan beras bagi menampung keperluan tempatan.
Konsep ‘5P’ iaitu tanam, tinggal, tuai, telefon dan tawakal sekarang perlu diubah kepada penggunaan pertanian pintar setelah kaedah Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Mini Sekinchan berjaya menghasilkan tujuh sehingga 11 tan metrik padi per hektar semusim sekali gus mengatasi pengeluaran di negeri-negeri lain.
Justeru, Che Ani berkata, kerajaan perlu menambah peruntukan khas bagi meningkatkan sistem pengairan di kawasan Muda berbanding bajet RM1.6 bilion yang lebih fokus kepada penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma.
Tambah beliau, selain sistem pengairan tersebut, isu berkaitan benih padi, baja yang lambat dihantar, masalah tanah jerlus serta serangan makhluk perosak antara yang dikesan penyumbang kepada pengeluaran hasil yang rendah.
“Kita mengakui kaedah SMART SBB ini ada kebaikannya tetapi pada awal-awal ia diperkenalkan dahulu terdapat kebimbangan dalam kalangan petani kerana perlu menyerahkan kawasan tanaman padi kepada syarikat swasta.
“Timbul juga beberapa persoalan dahulu antaranya mengenai kebanyakan tanah pusaka terlibat yang mempunyai keluasan milikan kecil, selain nasib petani yang menyewa tanah bendang dan dikhuatiri kehilangan punca pendapatan,” katanya. – UTUSAN










