LKIM jual ikan tanpa peraih - Utusan Malaysia

LKIM jual ikan tanpa peraih

LKIM akan banyak jualan ikan secara terus kepada pelanggan tanpa melalui peraih. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kewujudan orang tengah dalam kalangan peraih yang menindas golongan nelayan dengan memanipulasi harga hasil laut dibanteras me­lalui usaha memasarkan terus hasil tangkapan mereka kepada pengguna.

Dalam usaha itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membangunkan dan menambah bilangan Pasar Nelayan demi memendekkan rantaian pemasaran sekali gus membantu nelayan memperoleh margin pulangan lebih menguntungkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah LKIM, Yusuff Othman berkata, ketika ini sejumlah 135 Pasar Nelayan dibangunkan melibatkan 646 peserta di seluruh negara de­ngan memperkenalkan program jualan ‘Dari Nelayan Terus Ke Dapur’ agar pengguna dapat menikmati hasil laut yang segar dengan harga berpatutan.

Menurut beliau, pihaknya turut menjenamakan semula Program Ikan Rakyat LKIM yang diperkenalkan bermula 2013 dengan kini memperkenalkan produk QFISH bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu menstabilkan harga ikan sekali gus mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Produk ikan QFISH adalah ikan segar yang dibekukan menggunakan teknologi Individual Quick Freezing (IQF) dan diedarkan ke outlet QFISH yang terpilih dan jualan secara langsung di pelbagai lokasi oleh 16 pembekal.

IKAN KEMBUNG

“Sebanyak lapan spesies ikan kegemaran rakyat dipilih iaitu ikan Kembung, Selar, Pelaling, Selayang, Cencaru, Tilapia, Keli dan Tongkol dengan harga jualan maksimum RM10 sekilogram,” kata beliau baru-baru ini.

Yusuff berkata, pada masa sama, Persatuan Nelayan di dalam Program Pemasaran Ikan bertindak dengan membeli ikan daripada nelayan dengan harga lebih baik bagi mengelakkan penindasan oleh peraih lain.

Beliau memberitahu, terdapat 41 Persatuan Nelayan yang aktif dalam program ini melibatkan jumlah urus niaga yang direkodkan bagi tahun lalu adalah sebanyak 3,016 metrik tan bernilai RM17 juta.

Jelasnya, selain pemasaran konvensional, saluran pemasaran baharu menerusi platform digital turut dimanfaatkan bagi meluaskan jaringan pemasaran melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

“Nekmat turut memasarkan produk perikanan secara atas talian menerusi platform Nekmatbiz.
“Selain itu, kerjasama turut diadakan dengan platform terkemuka seperti Shopee bagi memasarkan produk hasil laut terus kepada pengguna,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengawal harga barangan termasuk melaksanakan penjualan terus tanpa pembabitan orang tengah.

Situasi itu boleh dilihat jika barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau bahan mentah dibawa terus dari ladang.

Menurut Perdana Menteri, penghapusan peranan orang tengah boleh dilaksanakan de­ngan cara mengadakan pasar-pasar tani atau projek-projek seperti jualan agro bazar untuk mengawal harga barang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×