Lima fokus capai negeri maju 2030 - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Lima fokus capai negeri maju 2030 – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI ( tengah) bersama sukarelawan membaling 'mud ball' ke Sungai Segget pada Program Gotong Royong Perdana Johor Bersih di Sungai Segget, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memberi fokus utama dalam lima perkara pada tahun ini bagi memastikannya berada pada landasan tepat bagi mencapai negeri maju menjelang 2030.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, lima perkara tersebut ialah isu di pintu masuk negara di negeri ini, agenda Johor Bersih, isu jalan, banjir dan hospital.

“Kerajaan akan menekankan beberapa perkara, satunya seperti yang kita sedia maklum, dalam sebulan setengah ini, kita telah membuat gerakan bersepadu untuk memastikan CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) kita berjalan dengan baik dan lancar.

“Kedua, kita juga ingin pastikan Johor bersih. Kita nak kurangkan pencemaran kerana aspek kesihatan, keselamatan, pencemaran, semua ini berhubung kait dan johor perlu bersih kerana imej kita, nak tarik pelabur, nak tarik pelancong. Ketiga, daripada segi aset, jalan-jalan tidak kisah di daerah mana, semua perlu dinaik taraf dan kita perlu betulkan,” katanya pada Program Gotong-Royong Perdana Johor Bersih di Legaran Sungai Segget, di sini hari ini.

Dua lagi perkara yang diberi penekanan ialah isu banjir dan hospital.

“Setiap tahun kita berdepan banjir. Jika mahu tunggu projek tebatan banjir, ambil masa setahun dua lagi nak selesai. Jadi, apa kaedah boleh dilakukan supaya isu banjir dapat dikurangkan, seperti tambah pam-pam di pintu air selain longkang dan parit dibersihkan sebelum musim banjir.

“Kelima, tahap kesiapsiagaan perkhidmatan kita di hospital, kerana angka semakin banyak dan kita perlukan bantuan kerajaan Persekutuan untuk lebih banyak hospital dibina di Johor, tetapi sementara itu, apa langkah proaktif kita perlu ambil untuk pastikan rakyat tidak tunggu lama, mungkin ada sistem yang boleh ditambah baik,” katanya.

Beliau yakin semua perkara itu dapat ditangani dengan baik menerusi penggemblengan tenaga semua pihak.

“Kita nak pastikan ekonomi kita terbaik, peluang pekerjaan baik, infrastruktur baik, tetapi isu-isu ini perlu selesai segera,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya