PORT DICKSON: Sebanyak 7,200 liter barang kawalan bersubsidi bahan api diesel bernilai lebih RM195,000 dirampas dalam serbuan Op Tiris yang dijalankan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama pihak polis ke atas sebuah premis di Tanah Merah Site C di sini malam semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pemeriksaan menyeluruh ke atas premis oleh pasukan serbuan telah mendapati terdapat dua orang lelaki dipercayai pekerja sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi dari tangki kepala lori ke dalam tangki lori treler.
Oleh itu, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 AKB 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.
“Dua orang lelaki yang ditemui di lokasi kejadian telah ditahan bagi tujuan membantu siasatan. Turut disita adalah dua buah lori, sebuah lori tangki, telefon bimbit serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian bekalan minyak diesel bersubsidi yang terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN.










