Kita tunggu kalau benar ada rombakan Kabinet -Zahid

Kita tunggu kalau benar ada rombakan Kabinet -Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan boleh berlaku rombakan jemaah Kabinet dalam waktu terdekat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya pemberita mengenai desas-desus perkara itu terjadi selepas berakhir enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Kita tunggu kalau benar ada rombakan setelah PRN nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Kemuncak Minggu Latihan Nasional 2023, di sini hari ini.

Program julung kali dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Human Resource Development Corporation yang turut dihadiri Menterinya, V. Sivakumar.

Kelmarin, sebuah portal berita tempatan melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan ‘pembersihan’ termasuk rombakan menteri Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu didakwa bersedia menyingkirkan beberapa anggota Kabinet selain menukar portfolio segelintir menteri yang dianggap teruk atau pun gagal.

Rombakan itu dikatakan bakal dibuat selepas PRN berakhir melibatkan baki enam negeri lagi iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Khabar angin akan berlaku rombakan mula tular diperkatakan warganet tempatan ekoran prestasi buruk beberapa menteri yang dikatakan menjejaskan imej kerajaan ketika ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Anwar secara umum berhak pun melakukan sebarang rombakan kerana ia hak mutlak sebagai ketua kerajaan.

“Namun secara kelazimannya, mana-mana individu yang menyandang jawatan Perdana Menteri tidak akan memberitahu isu ini ketika mesyuarat Kabinet,” katanya berseloroh.

Ditanya apakah ada menteri yang gagal melaksanakan tugas mereka, beliau dalam nada berlapik memberitahu bahawa semua anggota jemaah pentadbiran kerajaan adalah baik.

Ketika disoal mengenai hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu menyamannya kerana menuduh Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi, beliau berkata, kes masih disiasat.

Justeru, beliau menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperincikan siasatan berhubung sumber kewangan haram blok tersebut.

Tambahan pula ujar beliau, kes itu belum pun muktamad lagi ditutup SPRM malahan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki sudah menjelaskan mengenai perkara berkenaan.

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN itu mahu menyaman Anwar dan Ahmad Zahid kerana memfitnah blok tersebut kononnya ada menerima dana daripada syarikat judi.

Ia susulan jawapan bertulis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman apabila ditanya status kes berkenaan.

SPRM jelasnya, setakat ini belum dapat membuktikan ada kesahihan sumber kewangan PN sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu daripada firma perjudian tertentu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya