Kes kecurian batu nisan terpencil - JAIJ - Utusan Malaysia

Kes kecurian batu nisan terpencil – JAIJ

JAMALUDIN A. HAMID (kanan) menunjukkan salah sebuah kubur yang kehilangan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menganggap kes kecurian batu nisan di 11 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, di sini sebagai kes terpencil.

Pengarahnya, Jamaludin A. Hamid berkata, pihaknya tidak menerima laporan kes seumpama itu di tanah perkuburan lain di daerah ini.

Walau bagaimanapun, pihaknya turut mengingatkan supaya pengurusan tanah perkuburan lebih berhati-hati dengan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, antaranya kebenaran melawat bagi ahli keluarga dan pelawat adalah antara pukul 7 pagi hingga 6 petang.

“Ini adalah kes terpencil yang hanya berlaku di kawasan perkuburan ini sahaja, namun kita mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan kes seperti ini tidak berulang baik di sini atau di mana-mana tanah perkuburan Islam di Johor.

“Kita faham bahawa selepas pasca pandemik Covid-19 ini, ada yang terdesak sehingga melakukan perkara seperti ini, batu nisan (batu sungai) yang dicuri itu turut ada harga, kira-kira RM450 seketul,” katanya selepas meninjau  Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, di sini.

Baru-baru ini media melaporkan kehilangan 11 batu nisan di kubur yang dipercayai berlaku sejak akhir tahun lalu hingga sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu selepas ada waris memuat naik gambar pusara ahli keluarga yang kehilangan batu nisan dipercayai dicuri.

Dalam pada itu, Jamaludin tidak menolak kemungkinan 11 batu nisan tersebut telah dicuri untuk dijual semula berikutan harganya yang tinggi dalam pasaran.

Selain batu sungai, turut dilaporkan hilang ialah batu nisan jenis terazo dan marble yang harganya boleh melebihi RM1,000 setiap satu.

Beliau berkata, pihak pengurusan kubur terbabit bersetuju mengupah pekerja untuk melakukan rondaan pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“JAIJ juga akan menyediakan peruntukan tambahan kepada pengurusan tanah perkuburan tersebut untuk menaik taraf stor dan keceriaan kawasan berkenaan. Selain itu, pihak polis juga menyarankan supaya tiga pintu masuk ke kawasan itu ditutup, dan akses di laluan utama sahaja, manakala rondaan pada waktu malam dipertingkatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya