JOHOR BAHRU: Gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim agar Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek perlu meletak jawatan hanya pandangan peribadi.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Pengerusi PKR Johor itu berhubung keputusan Kabinet yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Itu hanya pandangan peribadi beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pemukiman Penerangan PKR di sini hari ini.
Semalam, Hassan menggesa tindakan itu selepas kedua-dua menteri bertanggungjawab menjaga Dasar Pendidikan Nasional dan perkara berkaitan dengannya termasuklah soal saluran kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) gagal berbuat demikian.
Beliau dilaporkan berkata, kegagalan dua menteri daripada UMNO dan PKR menjaga amanah bangsa untuk mempertahankan Dasar Pendidikan Negara dalam isu pengiktirafan peperiksaan UEC ini tidak boleh dimaafkan.
“Mereka berdua perlu meletakkan jawatan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Fuziah turut memberitahu isu UEC diiktiraf kerajaan bukan perkara baharu sebaliknya turut dibuat kerajaan terdahulu.
“Sebenarnya isu UEC ini bukan isu baharu, kerajaan dahulu pun dah iktiraf. Lagipun amat jelas kena ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kena ada Sejarah dan juga Bahasa Melayu.
“Ia bukan isu baharu, kerajaan daripada parti-parti lain pun iktiraf, jadi tiada isu,” katanya ringkas.









