Kerajaan bawa syarikat luar negara labur bidang penternakan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Kerajaan bawa syarikat luar negara labur bidang penternakan di Negeri Sembilan

RAFIZI Ramli (dua dari kanan) dan Aminuddin (dua dari kiri) pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 Bersama Kerajaan Negeri Sembilan di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan kini berusaha membawa pelabur berpotensi dari luar negara bersama usahawan tempatan bagi membangunkan industri penternakan di Negeri Sembilan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, bidang penternakan mempunyai permintaan yang sangat tinggi kerana negara ini mengimport sehingga 80 peratus bekalan daging dari luar negara.

“Usaha penternakan moden ini diharap dapat dijalankan secepat mungkin iaitu dalam tempoh enam sehingga 12 bulan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Kalau sebelum ini cubaan terakhir untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai pusat kepada industri penternakan itu berakhir dengan kurang baik, saya ingat kita ambil peluang kali ini tapi melibatkan sektor swasta. Kerajaan negeri sedang kenal pasti tapak dan kami (kementerian) sedang kenal pasti serta berbincang dengan pelabur dan juga rakan tempatan.

“Ini kerjasama antara syarikat yang telah berjaya di luar negara dengan pelabur tempatan serta usahawan tani tempatan. Pendekatan adalah bersifat perusahaan dan kepakaran itu mesti datang dari sektor swasta yang telah terbukti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 Bersama Kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri kini fokus untuk melahirkan usahawan pertanian berteknologi tinggi dalam usaha menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar makanan.

“Masyarakat di Negeri Sembilan perlu ambil cabaran ini. Kerajaan negeri berperanan sediakan tapak kepada anak-anak muda atau mereka yang berminat dapat laksanakan aktiviti ini dengan teratur dan berkesan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.