Kasih ibu tunggal OKU jaga tiga anak sakit

Kasih ibu tunggal OKU jaga tiga anak sakit

WALAUPUN raut wajah Zarina Mohd. Ali nampak tenang, namun ibu tunggal OKU ini menyembunyikan kegusaran hati mengenang nasib keluarga, ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap Perdana, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bukan sahaja kedua-dua belah kakinya dipotong sehingga paras betis akibat pe­nyakit kencing manis sejak tujuh tahun lalu, seorang ibu tunggal berdepan dugaan cukup besar apabila perlu menjaga tiga anaknya yang mengidap penyakit kronik.

Berbekalkan wang pencen arwah suaminya, Mohd. Shamsuri Abdullah RM1,200 sebulan, segala perbelanjaan perubatan dan kehidupan harian tergalas di bahu wanita orang kurang upaya (OKU) tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zarina Mohd. Ali, 59, berkata, pada mulanya hanya kaki kirinya yang terpaksa dipotong sehingga ke paras lutut pada 2016, namun akibat masalah kesihatan dialaminya, kaki kanannya juga pula dipotong pada 2020.

Katanya, selepas itu, anak keduanya, Khairun Nabilah, 29, disahkan menghidap kegagalan buah pinggang sekitar 2011 ketika berusia 17 tahun dan perlu menjalani proses dialisis selama tiga hari seminggu.

“Nabilah perlu pergi dan balik ke pusat dialisis dengan perbelanjaan sendiri, disebabkan tidak boleh memandu sekurang-kurangnya dia memerlukan RM500 untuk tambangnya berulang-alik.

“Dulu makcik ada pelindung (suami), makcik tak rasa tekanan yang melampau macam ni sangat. Apa-apa kami berdua, ayahnya yang banyak membantu menghantar dan mengambil Nabilah membuat rawatan. Sejak dia tiada, semua makcik kena hadap seorang.

“Jadinya… makcik beginilah, sudah jatuh ditimpa tangga. Daripada arwah suami makcik meninggal dunia pada 2017, lepas satu, satu dugaan datang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap Perdana di sini semalam.

Bercerita lanjut kepayahannya, Zarina memberitahu, selepas beberapa tahun, dia diuji lagi apabila anak bongsu, Khairun Nisha, 22, juga didiagnos masalah kegagalan buah pinggang dua tahun lalu dan perlu menjalani Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD).

“Pada awalnya Nisha disahkan badannya dipenuhi toksin dan kurang darah (anemia). Tapi, lepas tu doktor beritahu dia ada sakit buah pinggang juga, tapi kena jalani CAPD di rumah.

“Siapa tak kesian melihat dan mendengar anak sendiri mengadu sakit seluruh badan. Kalau boleh, makcik nak biarkan sakit itu dipindahkan kepada makcik,” katanya.

Menurutnya, pada 25 Mei lalu, anak bongsu itu menghembuskan nafas terakhirnya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di sini.

Dalam pada itu, lebih meruntun jiwa, Zarina berkata, anak sulungnya yang menjadi tulang belakang keluarganya, Mohd. Amir Haziq, 30 pula disahkan terkena jangkitan kulit Selulitis.

Jelasnya, penyakit itu mengakibatkan anaknya tidak boleh bergerak bebas dan hanya terlantar di rumah sejak November tahun lalu.

“Sejak menderita penyakit itu, Amir tidak mampu lagi untuk bekerja dan kini berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana menerima rawatan. Saudara terdekat ada datang melawat, memang mereka cakap makcik kuat dengan dugaan ni. Hakikatnya tiada siapa tahu makcik menangis sendirian.

“Makcik sering mencari kekuatan jiwa untuk berdepan semua dugaan ini. Adakalanya kita ambil pendekatan jika kita susah, ada lagi orang lebih susah daripada kita,” katanya.

Sementara itu, tambah Zarina, kini dia tidak mampu lagi untuk bekerja seperti sebelum ini untuk menampung perbelanjaan perubatan dan kehidupan mereka sekeluarga.

“Kalau makcik sihat, ada kaki, makcik boleh gagahkan diri lagi. Dulu, masa kaki kiri kena potong pun boleh buat kuih muruku untuk dijual. Tapi makcik reda, kalau ini takdir-Nya, makcik terima. Sebab dulu makcik selalu tonton rancangan realiti ‘Bersamamu’. Makcik tengok ada orang lagi susah daripada makcik,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan kepada Zarina dan keluarga, boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (Zarina Mohd. Ali) bernombor 0610029000557768.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya