Kanak-kanak enam tahun cemas 'tertinggal' di medan selera - Utusan Malaysia

Kanak-kanak enam tahun cemas ‘tertinggal’ di medan selera

KANAK-KANAK lelaki berusia enam tahun tertinggal di sebuah kedai makan di Medan Selera Simpang Kallang di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun melalui saat yang mencemaskan apabila ‘tertinggal’ di sebuah kedai makan selepas keluarganya berhenti rehat di Medan Selera Simpang Kallang di sini.

Kanak-kanak lelaki itu ditinggalkan keseorangan selama kira-kira empat jam sebelum bertemu semula dengan bapanya yang datang ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

Dalam kejadian itu, keluarga kanak-kanak itu singgah di medan selera tersebut bersama saudara mara mereka ketika dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas menghadiri majlis kenduri. Difahamkan, bapa mangsa pergi ke Kuala Lumpur untuk membeli alat ganti kereta selepas kereta dinaiki mereka rosak di Raub.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Shahril Abd. Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kanak-kanak tersebut ditinggalkan ketika mangsa pergi ke tandas.

“Semasa kejadian bapa kanak-kanak itu bergerak ke Kuala Lumpur dengan sebuah kereta manakala ibunya menaiki sebuah lagi kereta ke Jeli, Kelantan bersama adik dan abang mangsa serta saudara mara lain.

“Sangkaan ibunya kanak-kanak terbabit berada bersama bapanya dan bapanya pula menyangka kanak-kanak itu berada bersama ibunya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shahril, bapa mangsa hanya menyedari anak keduanya itu ‘tertinggal’ ketika berada di Rawang, Selangor apabila dihubungi isterinya.

“Kanak-kanak berkenaan dibawa ke balai polis pada pukul 1 tengah hari sebelum bapa mangsa menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian,” katanya.

Beliau memberitahu, bapa mangsa tiba di balai polis dan mengambil kanak-kanak berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya