PUTRAJAYA: Pengiktirafan semula Thomas Food International (TFI) Lobethal, Australia untuk mengeksport daging ke Malaysia diberikan selepas rumah sembelihan itu melepasi semakan audit halal yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Perkara itu disahkan Jakim kepada Mingguan Malaysia selepas akhbar ini melaporkan penarikan balik penggantungan kelulusan eksport rumah sembelihan itu yang diakui sendiri JPV selepas selesai melakukan proses pengauditan ketat di semua rumah sembelihan di negara berkenaan pada tahun lalu.
TFI sebelum ini dibatalkan kelulusan kebenaran eksport oleh JPV dan Jakim pada 14 Mei tahun lalu selepas akhbar ini mendedahkan isu ketidakpatuhan prosedur halal rumah sembelihan itu.
MESYUARAT
Menurut Jakim, pengiktirafan tersebut diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara pada 3 November 2022 bagi tempoh tiga tahun sehingga 2 Disember 2025.
“Mesyuarat berpuas hati dengan dapatan pemeriksaan semula audit halal Jakim dan JPV yang mendapati rumah sembelihan tersebut telah membuat penambahbaikan proses dan memenuhi keperluan standard halal,” katanya di sini semalam.
Pada masa sama, Jakim turut mengesahkan badan pensijilan halal, Supreme Islamic Council Of Halal Meat In Australia (SICHMA), Australia yang menyelia TFI sebelum ini turut diberi pengiktirafan semula selaku Badan Pensijilan Halal Luar Negara.
Jelasnya, pengauditan oleh Jakim ke atas SICHMA dijalankan pada 3 hingga 6 Oktober 2022 mendapati badan pensijilan halal ini memenuhi keperluan dan mempunyai prosedur serta sistem berkesan untuk pensijilan halal.
SICHMA sebelum ini menerima surat tunjuk sebab daripada Jakim atas kegagalannya menyelia prosedur halal ke atas TFI dan boleh dikenakan tindakan dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal diiktiraf Jakim.
Sumber JPV berkata, selepas proses pengauditan yang ketat ke atas semua rumah sembelihan di Australia, hanya 19 rumah sembelih menerima pensijilan halal berbanding 30 buah sebelum ini.
Daripada jumlah itu, empat buah premis menerima sijil bermula 2 Disember 2022 untuk tempoh tiga tahun manakala 15 lagi premis mendapat dapat sijil itu pada 3 Mac lalu.
Sejak 14 April tahun lalu, Utusan Malaysia beberapa kali mendedahkan tentang kegagalan rumah sembelihan itu mematuhi prosedur penyembelihan mengikut syariat Islam sehingga wujud keraguan terhadap daging import dari rumah sembelihan berkenaan. – UTUSAN










