Isu pelarian: Malaysia perlu wujud sistem data sendiri

Isu pelarian: Malaysia perlu wujud sistem data sendiri

SEBAHAGIAN PATI yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi penguatkuasaan Ops Sapu di sebuah flat di Jalan Abraham, Kuala Lumpur. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan sistem data sendiri berbanding bergantung kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi menangani isu berkaitan pelarian dan warga asing.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada pihak luar sedangkan isu tersebut membabitkan urusan keselamatan dalam negara, selain ia menunjukkan kelemahan kerajaan sendiri.

Menurut beliau, ia perlu dilaksanakan secepat mungkin supaya kerajaan boleh menentukan tindakan yang bersesuaian dalam menangani isu tersebut.

“Seharusnya kita yang buat dan kumpul data mengenai pelarian, bukan kita berpaksikan kepada pihak luar kerana ini melibatkan keselamatan dalam negara. Data daripada pihak luar hanya boleh jadi penimbang tara.

“Bagi saya, pihak kerajaan perlu melantik beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang dipercayai untuk melaksanakan pengumpulan data tersebut. MCCF sendiri melakukan proses tersebut dan mempunyai data sejak 2015.

“Warga asing bukan hanya melibatkan ekonomi dan perang kerana ada yang ‘bertopengkan’ pelarian dengan menggunakan kad-kad UNHCR. Jadi di situ kita lihat banyak disalah gunakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, keberadaan UNHCR dikatakan lebih banyak mengundang masalah isu kemasukan pendatang asing ke Malaysia ekoran dakwaan wujud ketirisan daripada kawal selia yang lemah.

Difahamkan, terdapat penipuan warga Bangladesh di negara ini yang menyamar sebagai etnik Rohingya di Myanmar bagi mendapatkan kad pelarian UNHCR dan berselindung sebagai pencari suaka politik di Malaysia sedangkan Bangladesh bukanlah negara bergolak.

Halim berkata, beliau tidak melihat keberkesanan UNHCR dalam menyelesaikan isu itu walaupun mendapat peruntukan besar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana badan tersebut hanya melaksanakan program kaji selidik.

“Dana tersebut sepatutnya disalurkan kepada kerajaan Malaysia kerana membantu menyediakan penempatan dan makanan untuk pelarian-pelarian dalam negara ni, bukan kerajaan kita perlu tanggung,” katanya.

Beliau berpendapat, tidak menjadi satu masalah sekiranya kerajaan membawa masuk pelarian perang untuk berlindung tetapi kenapa hanya Malaysia sahaja menerima pelarian ekonomi seperti Rohingya.

“Saya tidak tahu sebab politik Malaysia atau tekanan daripada persatuan-persatuan hak kemanusiaan sebagainya tetapi tindakan pemimpin-pemimpin negara kita menampakkan kelemahan kerana tidak berjaya menangani isu ini.

“Isu mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) juga kita lihat kerajaan sukar nak menangani walaupun isu ini sudah dialami sejak tahun 2000 dan sekarang sudah 2023,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.