JEMPOL: Seorang ibu merayu orang ramai untuk membantu mengesan anak bongsunya yang hilang sejak lebih sebulan lalu.
A. Laletha, 41, berkata, anaknya itu, M. Tavanes Vary hilang pada 3 April lalu di sebuah kedai bunga milik keluarganya di pekan Bahau, di sini.
Jelasnya, ketika kejadian dia tidak ada di kedai tersebut kerana keluar untuk menghantar barangan di kawasan berhampiran dan kehilangan Tavanas Vary itu disedari oleh seorang lagi anaknya. Laporan polis juga telah dibuat pada hari yang sama.
“Hari ini sudah sebulan tujuh hari dia hilang, tidak tenteram hidup kami sekeluarga. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama anak saya hilang, ia kejadian kedua selepas dia hilang pada 13 Mac lepas namun ditemui di Kulai, Johor tiga hari kemudian.
“Ketika itu anak saya disyaki telah dibawa oleh individu yang tidak dikenali sebelum dijumpai di sana dan dihantar ke balai polis berdekatan,” katanya di sini, hari ini.
Ujar Laletha, sebelum hilang, anaknya itu memakai seluar pendek berwarna hitam kebiruan dan baju lengan panjang berwarna merah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjumpainya boleh menghubungi saya di nombor 012-6677250 atau 014-2228460 ataupun memaklumkan ke balai polis berdekatan,” katanya.-UTUSAN.










