Harumanis tak cukup untuk eksport ke luar negara

Harumanis tak cukup untuk eksport ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Bekalan Harumanis yang menjadi kebanggaan penduduk di utara tanah air masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan di seluruh negara walaupun jumlahnya kian meningkat pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Justeru, menurut Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan, pemasaran produk itu pada ketika ini masih tertumpu dalam negara meskipun Harumanis memiliki potensi untuk dieksport ke luar negara termasuk Eropah.

Bagaimanapun, katanya, usaha untuk mengeksport Harumanis ke luar negara tidak mustahil akan dilaksanakan pada masa akan datang selain persiapan untuk mengeksport buah tersebut ke luar negara sudah dilakukan sejak beberapa tahun dulu.

“Usaha itu bermula sejak 2014, namun, sehingga kini, bekalan masih tak cukup untuk dihantar ke luar negara. Walaupun penghasilan tahun ini meningkat, jumlahnya masih belum mencukupi.

“Kita berdepan beberapa kekangan dalam meningkatkan penghasilannya kerana Harumanis hanya sesuai ditanam di utara tanah air seperti Kedah, Perlis dan Thailand. Keadaan itu disebabkan musim panas yang ‘nyata’ iaitu cuaca sesuai untuk penanaman Harumanis hanya berlaku di kawasan tersebut dalam negara ini.

“Disebabkan itu, buat masa ini, kami hanya tumpukan kepada pemasaran dalam negara. Lagi pun, tawaran harga dalam negara masih ‘menarik’ dan memberi pendapatan baik kepada para pengusahanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hadir ke Majlis Libat Urus Menteri Bersama Usahawan Harumanis di Pusat Pengumpulan Ladang, Kampung Pida 3 dekat Kodiang di sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan menyatakan pengeluaran mangga Harumanis di Perlis dijangka meningkat hingga mencecah 2,140 metrik tan dengan nilai jualan berjumlah 53.5 juta.

Selain itu, musim buah yang terkenal dengan kemanisan isinya itu dijangka akan lebih panjang pada tahun ini iaitu bermula penghujung April hingga Julai disebabkan faktor cuaca tidak menentu sebelum ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, kementeriannya sememangnya memiliki hasrat untuk memasarkan Harumanis ke luar negara satu masa nanti sekiranya buah tersebut dapat dihasilkan dalam kuantiti mencukupi.

“Penghasilan Harumanis berkait rapat dengan kesesuaian cuaca, namun, kebelakangan ini nampaknya penghasilannya sudah kian ‘merebak’. Sebagai contoh, saya difahamkan penanaman Harumanis ini akan dikembangkan ke Baling sedikit selepas ini dalam kuantiti agak besar,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, ketika ini Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa memantau bekalan hasil pertanian berikutan cuaca panas yang melanda negara.

“Saya difahamkan setakat ini bekalan pengeluaran sayur sebagainya masih lagi mencukupi. Namun kita masih lagi meneruskan pemantauan termasuk dalam aspek penternakan ayam agar sebarang masalah yang timbul, dapat diatasi segera,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya