Gol jaringan Muhammad Safuwan beri Negeri Sembilan kemenangan ketiga - Utusan Malaysia

Gol jaringan Muhammad Safuwan beri Negeri Sembilan kemenangan ketiga

MUHAMMAD Safuwan Baharudin membuat percubaan ke gawang lawan dalam aksi Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur City di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pertembungan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC yang ditunda pada 11 Mac lalu dan bersambung semula hari ini berkesudahan kemenangan memihak kepada skuad Jang dengan keputusan 2-1. 

Aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini itu dimulakan pada minit ke-28 namun sehingga tamat separuh masa pertama keputusan masih terikat tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan malah mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Namun jaringan yang dicari tersebut hanya terhasil pada minit ke-72.

Ia menerusi sentuhan ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak yang menyambut hantaran Levy Clement Madinda menerusi tandukan sekali gus menewaskan Muhammad Azri Ab Ghani di gawang Kuala Lumpur.

Pelawat bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi tandukan Zhafri Yahya pada minit ke-84 hasil sepakan percuma yang sebelum itu yang diambil ketua pasukannya, Paulo Josue Sturmer Dos Reis.

Tidak mahu kecewa dengan gol itu, Negeri Sembilan terus melancarkan serangan dan dua minit kemudian, pemain import tuan rumah dari Singapura, Muhammad Safuwan Baharudin menanduk masuk gol kemenangan selepas menyambut sepakan penjuru yang diambil Mohamad Zaquan Adha.

Kuala Lumpur cuba mencari gol penyamaan namun tuan rumah kental bertahan dan sehingga tamat perlawanan keputusan kekal 2-1 sekali gus  tiga mata diraih dan kemenangan ketiga buat Negeri Sembilan setakat ini.

Selepas kedua-dua pasukan mengharungi 10 perlawanan, Negeri Sembilan kini mengutip 13 mata manakala Kuala Lumpur mencatatkan 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga kali seri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya