GLC dilibatkan dalam latihan kepemimpinan belia - PM - Utusan Malaysia

GLC dilibatkan dalam latihan kepemimpinan belia – PM

ANWAR Ibrahim melancarkan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) sempena Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Perdana Menteri memberitahu bahawa beliau akan membawa cadangan ke peringkat Jemaah Menteri supaya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd. dan Petronas dilibatkan dalam program latihan belia yang memberikan tumpuan dalam aspek kepemimpinan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, cadangan program latihan di institut latihan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu akan dibawa beliau dalam masa terdekat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi diluluskan.

“Saya akan bawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa singkat supaya agensi-agensi terlibat, baik Perkeso, Khazanah, Petronas untuk turut terlibat dalam program latihan di institut latihan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

“Sekarang ini sudah dilakukan umpamanya TVET (Program Latihan Teknikal dan Vokasional) yang dikendalikan bersama Petronas dan syarikat-syarikat swasta. Tetapi di institut (latihan) ini, saya setuju dengan pandangan menteri, mengenai kepemimpinan yang masih kritikal dan penting.

“Saya ingin menggesa bahawa dengan latihan kepemimpinan ini dengan berani dan terang dapat membawa mesej yang jelas bahawa negara ini mesti diselamatkan, siapa yang akan jadi tonggak untuk menyelamatkan negara ini daripada kemungkaran, rasuah dan penyelewengan? (mereka ialah) anak muda, jadi saudara pegang tanggungjawab ini baik-baik,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid.

ANWAR Ibrahim bertemu dan beramah mesra dengan para belia yang menghadiri Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Pada majlis berkenaan, Anwar turut menyempurnakan pelancaran Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) yang menjadi pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia.

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada pertubuhan-pertubuhan belia melalui MBM.

“Kesungguhan kepemimpinan MBM termasuk menjayakan Negara Madani dengan keyakinan dan ilmu maka saya setuju peruntukan RM5 juta setahun.

“MBM istimewa kerana badan-badang yang mewakili persatuan, kaum, agama boleh mempersatukan para belia dengan semangat perpaduan. MBM penting dalam menyelamatkan negara kita dalam membina kekuatan baharu,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang pernah menjadi Presiden MBM antara tahun 1973 sehingga 1976 turut menggesa anak muda negara ini tidak hanya menjadi pak turut sebaliknya tampil dengan idealisme, berprinsip dan menghormati antara satu sama lain.

“Sebab itu saya kata, anak muda sekarang mesti sedar bahawa masa depan mereka tentukan, dengan syarat mereka mempunyai komitmen dan sikap untuk menimba ilmu, tolak kemungkaran, tolak kezaliman dan angkat martabat rakyat.

“Saya tidak mahu anak muda ini jadi semata-mata pak turut, bincanglah secara terbuka, mahu kritik, mahu tegur, mahu minta ulasan, silakan. Mahu berbeza pandangan silakan tetapi jangan jadi ‘macai’ atau ‘walaun’, guna masa untuk berfikir dan menilai,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.