KUALA LANGAT: Kepayahan seorang penuntut Politeknik Banting Selangor (PBS) menempuh sesi pengajian dalam keadaan kudung kaki akibat kemalangan dibalas dengan kejayaan apabila menggenggam segulung diploma semalam.
Abdul Muiiz Hakim Khairul, 23, kehilangan kaki kiri selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta di Jambatan Sultan Yusuf Teluk Intan, Perak pada 3 November 2020.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, tragedi hitam berkenaan bagaimanapun tidak sesekali melunturkan semangat untuk meneruskan baki pengajiannya dalam jurusan kejuruteraan mekanikal.
“Biarpun sebelah kaki ini gagal diselamatkan akibat hancur pada lutut dan peha, saya tekad mahu meneruskan pembelajaran ketika semester kelima itu.
“Berstatus sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menjalani rehabilitasi, saya menyelesaikan latihan praktikal di PBS dan menamatkan pengajian yang penuh berliku pada Februari tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Konvokesyen PBS kali ke-12 di Banting, di sini.
Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu antara 341 graduan yang menerima diploma diserahkan Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd. Noor Shahudin.
Jelas Abdul Muiiz, kejayaannya itu juga hasil dorongan dan sokongan kuat pelbagai pihak terutama bapa, Khairul Haris, 56, serta ibunya, Normah Mohd. Yazid, 52.
“Doa seluruh ahli keluarga, rakan dan jiran juga mengiringi perjuangan saya dengan turut membantu dari segi kewangan serta moral.
“Selain itu, saya menghargai jasa pihak pengurusan Pusat Rehabilitasi Melaka dan Hospital Teluk Intan yang membantu saya menangani pelbagai masalah sebagai OKU,” ujarnya yang bertongkat dan berkerusi roda.
Tambah beliau, dia yang kini menceburi perniagaan air soya dan bubur Korea berhasrat mengembangkannya sehingga peringkat antarabangsa.
“Saya berpegang kepada prinsip sentiasa mensyukuri nikmat Allah dan menerima kekurangan diri selain tidak berputus asa dalam hidup,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PBS, Zainah Rujihan berkata, politeknik berkenaan melahirkan seramai 1,919 graduan sejak 2011 dengan penilaian kebolehpasaran graduan sebanyak 96.5 peratus pada tahun lalu.-UTUSAN