SUBANG JAYA: Sunway Marketing Sdn. Bhd., rakan pengedar utama Zeekr Malaysia, memperkukuh kehadiran jenama kenderaan elektrik premium itu menerusi pelaburan kira-kira RM10 juta bagi membangunkan Zeekr Space Sunway City dan Pusat Servis Zeekr Sunway.
Pelancaran itu menandakan fasa baharu pengukuhan jenama Zeekr di pasaran tempatan selepas pertama kali diperkenalkan pada Oktober 2024 di bilik pameran Sunway Pinnacle sempena kemunculan sulungnya di Malaysia.
Zeekr Space Sunway City merangkumi dua kemudahan utama iaitu ruang pameran dan pusat servis yang menyokong keseluruhan perjalanan pemilikan pelanggan.
Ketua Bahagian Automotif Sunway Marketing, Marcus Chye berkata, pelaburan itu selari dengan aspirasi Sunway dalam pembangunan lestari dan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain melihat potensi kenderaan elektrik (EV) sebagai pemacu mobiliti masa depan.
“Zeekr merupakan produk premium yang menawarkan kualiti tinggi pada nilai kompetitif, menjadikannya serasi dengan jenama Sunway.
“Kami percaya EV akan menjadi pilihan utama pengguna apabila mereka mula memahami dan membiasakan diri dengan teknologi ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Zeekr Space Sunway City dan Pusat Servis Zeekr Sunway, semalam.
Menurutnya, pusat servis berkeluasan 10,000 kaki persegi itu boleh diperluaskan sehingga 20,000 kaki persegi bagi menampung pertumbuhan komuniti pengguna Zeekr di Malaysia.
Selain itu, terletak di Persiaran Lagoon, ruang pameran seluas 11,100 kaki persegi pula menempatkan enam petak paparan model terkini seperti Zeekr X dan Zeekr 009, selain dua petak penghantaran khas untuk pelanggan menerima kenderaan baharu mereka.
Mengulas perancangan masa depan, Marcus berkata, Sunway menyasarkan untuk memperluas kehadiran Zeekr ke lokasi strategik lain termasuk Sunway Iskandar Puteri, Johor yang dijangka dibuka dalam tempoh dua bulan.
“Selepas Johor, kami menyasarkan pembukaan di Ipoh dan kemudian di Pulau Pinang, bergantung kepada kelulusan Zeekr Malaysia.
“Kami mahu setiap bandar yang menempatkan projek pembangunan Sunway turut memiliki Zeekr Space dan pusat servis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Trading dan Manufacturing, Yeoh Yuen Chee berkata, pelancaran serentak dua kemudahan itu melambangkan komitmen syarikat dalam memperkukuh segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) di Malaysia.
“Ini bukan sekadar pengembangan operasi automotif, tetapi manifestasi usaha kami dalam menawarkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih lestari, mudah dan menyeronokkan kepada komuniti di Sunway dan sekitarnya
“Kemudahan lain, termasuk ruang rehat pelanggan eksklusif, stesen perbincangan bersama penasihat jualan dan produk serta empat stesen pengecas AC bagi EV serta merancang kemudahan pengecas pantas DC untuk fasa seterusnya,” katanya.
Sejak penghantaran pertama pada Disember 2024, syarikat telah menyerahkan 600 unit kenderaan Zeekr kepada pelanggan di seluruh negara. – UTUSAN










