KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diminta menimbang memberi kelonggaran kepada pelajar mengenakan pakaian sukan berikutan kebimbangan peningkatan kes strok haba akibat gelombang panas yang dijangka berlarutan sehingga Jun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan demi keselesaan dalam kalangan pelajar sekolah.
“Seharusnya pihak kementerian memberi kelonggaran tidak berpakaian formal seperti biasa, khususnya penggunaan tali leher dan kot di sekolah. Pelajar-pelajar perlu diberi kelonggaran dan dibenarkan memakai baju sukan supaya dapat mengelakkan terkena gelombang haba.
“Tindakan itu juga dapat mengurangkan rasa kurang selesa atau rimas buat pelajar-pelajar ketika mengikuti pembelajaran di sekolah,”katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini Kabinet memaklumkan akan membincangkan untuk melanjutkan cuti persekolahan atau sebaliknya berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu rakyat menghadapi fenomena itu, termasuk kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan bagi memantau dan membantu mereka yang terkena strok haba.
Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, pelajar juga perlu mengambil peranan kendiri dengan memastikan tidak berpakaian mencolok mata dan kemas selain perlu mendisiplinkan diri untuk tidak kerap terdedah dengan cuaca panas.
“Nasihat ini juga perlu diberikan dari semasa ke semasa.Saya juga mencadangkan pelajar tidak dihalang untuk sentiasa mencuci muka serta berwuduk untuk mengimbangi suhu badan mereka serta minum air bersih (bukan air manisan) sekerap yang mungkin.
“Ibu bapa atau penjaga seloknya membekalkan air putih dan memantau pakaian selesa yang tidak mencolok mata serta patuh disiplin berpakaian sekolah (bukan uniform formal),”katanya.
Sementara itu, perkara yang sama turut disokong Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim.
Menurut beliau, antara langkah yang boleh diambil oleh kementerian adalah dengan membenarkan pelajar berpakaian lebih selesa di sekolah supaya dapat membendung isu strok haba.
“Jika seluar dan kemeja-T sukan lebih selesa, biarlah ada kelonggaran ini. Sekolah sepatutnya menggunakan budi bicara untuk melakukan yang sebaiknya demi kesihatan anak-anak.
“Penggunaan jaket dan vest langsung tidak diperlukan. Sebaiknya seragam ini tidak digalakkan di waktu mana pun kerana ia hanya meningkatkan kos tambahan persekolahan untuk ibu bapa,”katanya. – UTUSAN










