Enam juta kenderaan direkodkan berada di ibu negara setiap hari

Enam juta kenderaan direkodkan berada di ibu negara setiap hari

ANTHONY Loke ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal mengenai kesesakan jalan raya di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan purata kira-kira enam juta atau 85 peratus kenderaan berada di ibu negara setiap hari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kajian yang dijalankan turut mendapati kira-kira 2.2 juta kenderaan masuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak antara pukul 6 hingga 9 pagi.

Menurut beliau, ketika ini kira-kira 15 peratus sahaja pengguna menaiki pengangkutan awam dan jumlah tersebut masih tidak mencapai sasaran Kementerian Pengangkutan untuk mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus rakyat menggunakan pengangkutan berkenaan.

“Jadi, boleh bayangkan betapa teruknya kesesakan (yang berlaku) di Kuala Lumpur? Ini adalah statistik (direkodkan) atau realiti yang perlu dihadapi setiap hari.

“Oleh itu, beberapa langkah mitigasi dibincangkan dan dipersetujui oleh mesyuarat iaitu cadangan DBKL untuk melaksanakan laluan kontra melibatkan tiga lokasi,” katanya menerusi sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, laluan kontra yang akan dilaksanakan itu melibatkan laluan Tol Plus Sungai Besi ke persimpangan Besraya (dari Selatan Kuala Lumpur) yang membabitkan jarak 2.4 kilometer.

Selain itu, katanya, cadangan tersebut turut melibatkan pemanjangan laluan kontra dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught pada jarak empat kilometer.

Jelas beliau, pelaksanaan laluan kontra di kedua-dua lokasi itu dibuka kepada semua jenis kenderaan persendiriaan kecuali motosikal.

“Laluan kontra ketiga adalah di Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak meliputi jarak tiga kilometer yang melibatkan pengangkutan awam sahaja iaitu bas. Tiada kenderaan persendirian dibenarkan dan penguatkuasaan hendaklak dilaksanakan sewajarnya,” ujarnya.

Beliau berkata, ketiga-tiga laluan akan mula beroperasi pada 3 Julai depan bagi memberi masa kepada DBKL untuk membuat persediaan di setiap lokasi.

Tambahnya lagi, mesyuarat turut bersetuju supaya Institusi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) membantu menyediakan garis panduan teknikal dan keselamatan berhubung pelaksanaan laluan kontra tersebut.

“DBKL akan meneliti cadangan ini dengan terperinci dan melaksanakan simulasi trafik dengan mengambil kira kemasukan aliran trafik dari laluan-laluan jalan lain yang masuk ke kawasan terbabit.

“Sudah tentu Kementerian Pengangkutan terutama Prasarana akan terus laksanakan penambahbaikan terhadap pengangkutan awam untuk mengalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut.

“Ini sudah tentu mengambil masa kerana ia (bergantung) sikap pengguna, keyakinan mereka untuk menggunakan pengangkutan awam, itu juga dibincangkan dalam mesyuarat ini supaya kemudahan-kemudahan infrastruktur dapat ditambah baik dari masa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony Loke memaklumkan, ketika ini terdapat tujuh buah projek pembangunan masih berjalan di ibu negara yang memerlukan penutupan lorong atau jalan dan dijangka selesai pada Jun atau Ogos depan.

“Saya dah minta kerjasama DBKL supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan lanjutan (penutupan), ini adalah mesej kepada semua kontraktor yang melaksanakan projek-projek melibatkan penutupan jalan. Jadi tidak lagi ada kebenaran untuk melanjutkan tempoh diberikan itu dengan mudah, kalau tak siapkan projek mereka akan tanggung risiko sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.