Dipenjara 15 tahun pukul kekasih gelap isteri sehingga mati - Utusan Malaysia

Dipenjara 15 tahun pukul kekasih gelap isteri sehingga mati

AHMAD AD DARRABI SADIMAN dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Muar kerana menyebabkan kematian seorang lelaki yang menjalin hubungan cinta dengan isterinya, lima tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang suami dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tingg, di sini hari ini apabila didapati bersalah memukul lelaki yang menjalin hubungan cinta dengan isterinya sehingga mati, lima tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Ad Darrabi Sadiman, 39, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim, Suria Kumar Durairaj kerana didapati bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Muhammad Mudrikah Lizan.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang bekerja sendiri diperintahkan menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Oktober 2018.

Suria Kumar dalam penghakiman ringkasnya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hujahan kedua-dua belah pihak.

“Hukuman ini (penjara 15 tahun) disebabkan kesalahan akibat kemarahan tertuduh yang membawa kepada tindakannya itu (membunuh),” katanya. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama tiga lagi rakan (yang dibicarakan mengikut seksyen berlainan) didakwa menyebabkan kematian Muhammad Mudrikah di pekarangan Taman Rekreasi Sungai Senggarang, Batu Pahat antara pukul 6.40 petang hingga 8.50 malam, pada 23 Oktober 2018. 

Tertuduh bersama-sama Muhammad Fadhli Benu, 34, Rizaki Riduan, 43, dan Mohd. Fairuz Zakaria, 40, didakwa memukul mangsa kerana didakwa menjalin hubungan cinta dengan isterinya. 

Mangsa pada mulanya cedera parah dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 5.15 petang keesokannya. 

Hasil siasatan polis mendapati mangsa dipercayai dilarikan dan dipukul selepas tertuduh tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isterinya berdasarkan beberapa gambar intim dan mesej lucah dalam telefon bimbit mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan tetapi kemudian dikenakan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Safiah Abdul Aziz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya