Cuaca panas: Kapasiti air empangan di Negeri Sembilan masih baik - Utusan Malaysia

Cuaca panas: Kapasiti air empangan di Negeri Sembilan masih baik

AMINUDDIN Harun melawat ke laman foto bertemakan ‘Dangau Padi’ sempena jamuan Hari Raya Aidilfitri Pentadbiran Daerah Kuala Pilah di pekarangan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Paras air di tujuh buah empangan di Negeri Sembilan masih lagi tidak terjejas ekoran cuaca panas ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, empat daripada keseluruhan jumlah empangan tersebut mencatatkan jumlah 100 peratus kapasiti airnya.

Empat empangan tersebut adalah Empangan Talang, Empangan Pedas, Empangan Gemencheh dan Empangan Ulu Sepri. 

“Sebanyak tiga lagi empangan iaitu empangan Sungai Terip, Kelinci dan Teriang merekodkan kapasiti air melebihi 94 peratus. Ini merupakan keadaan yang baik dan masih bertahan walaupun mengalami cuaca yang agak panas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri Pentadbiran Daerah Kuala Pilah di sini hari ini.

Aminuddin dalam pada itu mengingatkan penduduk di negeri ini untuk menggunakan air dengan berhemah dalam situasi cuaca semasa.

“Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dalam masa akan datang, bermula dari sekarang semua pihak perlu menjaga sumber air kita bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. 

“Kerajaan negeri akan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan bagi jangka pendek namun saya minta juga masyarakat untuk sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi kenyataan baru-baru ini memberitahu, Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei ini dan berterusan sehingga bulan September depan.

Dalam tempoh berkenaan pembentukan awan hujan akan berkurangan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan dan keadaan ini menyebabkan taburan hujan yang lebih rendah.

Sehubungan itu juga, pihak Jabatan Meteorologi Malaysia menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengurangkan kesan jerebu selain menyarankan penggunaan air secara berhemah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya