Cuaca panas beri kesan kehadiran pelancong di Port Dickson - Utusan Malaysia

Cuaca panas beri kesan kehadiran pelancong di Port Dickson

AMINUDDIN Harun (dua dari kiri) melancarkan aplikasi Clique MPPD pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Cuaca panas yang melanda ketika ini dijangka akan turut memberi kesan kepada kehadiran pengunjung ke pantai-pantai peranginan termasuk di Port Dickson.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, aktiviti pelancongan di Negeri Sembilan masih berjalan seperti biasa namun menasihatkan pelancong supaya sentiasa mengambil langkah perlu dan berwaspada dengan suhu cuaca yang dikeluarkan.

“Dalam keadaan panas dan cuaca tidak begitu baik (ketika ini) kemungkinan akan memberi kesan kepada kedatangan pelancong.

“Setakat ini aktiviti pelancongan masih berjalan seperti biasa, kehadiran pelancong juga sama. Setakat ini masih baik namun kita tidak tahu lagi keadaan dalam tempoh dua hari atau seminggu lagi macam mana keadaan cuaca, jadi perlu sentiasa berhati-hati,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Aminuddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri turut melancarkan Aplikasi Clique MPPD yang merupakan aplikasi sehenti untuk pembayaran elektronik kepada pihak MPPD.

Beliau berkata, MPPD merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua di negara ini selepas Majlis Bandaraya Seberang Perai, Pulau Pinang yang menyediakan perkhidmatan itu.

“Ia merupakan aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta. Saya berharap perkhidmatan ini dapat membantu memudahkan masyarakat termasuk bagi membayar cukai,” katanya.

KAKITANGAN MPPD, Nurwajihah Mohd (kiri) dan Norliana Abdul Wahab menunjukkan aplikasi Clique MPPD yang dilancarkan hari ini sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MPPD di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd. Esa berkata, aplikasi Clique MPPD adalah satu usaha pihaknya untuk memperkenalkan pembayaran tanpa tunai kepada penggunanya yang mempunyai kepentingan berkaitan Port Dickson seperti harta atau aset, perniagaan, kesalahan dan kompaun.

“Bagi pihak MPPD kami berharap pengguna berpuas hati dan selesa dengan kaedah pembayaran tanpa tunai ini yang lebih cepat dan menjimatkan masa. Orang ramai (pelanggan) juga tidak perlu beratur panjang di kaunter dan masalah menunggu nombor giliran dapat dielakkan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya