Buang ego, banyak manfaat diraih menerusi kerajaan perpaduan - Halim - Utusan Malaysia

Buang ego, banyak manfaat diraih menerusi kerajaan perpaduan – Halim

Abdul Halim Suleiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli UMNO, khususnya di peringkat akar umbi perlu melihat Konvensyen Nasional kerajaan perpaduan yang berlangsung semalam dengan hati terbuka dan bukan secara prejudis.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, banyak manfaat boleh diraih ahli UMNO termasuk rakyat secara keseluruhan menerusi kerjasama politik yang dijalin ketika ini.

Justeru, pihak yang masih benci, ragu dan meremehkan keputusan parti tersebut perlu membuang ego mereka.

“Bagi segelintir pemimpin dan ahli UMNO yang masih benci, kurang yakin dan meremehkan keterlibatan UMNO dalam kerajaan perpaduan ini, buanglah sikap ego, terima dengan hati terbuka dan yakinlah bahawa cara inilah adalah kaedah terbaik untuk menjamin kesinambungan hayat UMNO. 

“Kita jangan hiraukan tentang penghujungnya kerajaan perpaduan ini, tetapi kita kena perlu berusaha untuk memastikan perjalanannya lancar dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Konvensyen Nasional kerajaan perpaduan semalam yang disertai 19 parti politik disifatkan sebagai sejarah baharu dalam arena politik tempatan yang mampu mengukuh dan menstabilkan negara.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, ahli UMNO patut berbangga dan berterima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggerakkan usaha untuk memastikan parti itu kekal relevan sebagai wadah perjuangan terbaik orang Melayu dalam kerajaan perpaduan. 

“Mungkin tanpa usaha murni tersebut, UMNO akan tersisih sebagai pembangkang dengan hanya 26 kerusi Parlimen, malah dibayangi pula Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya tak melihat UMNO sebagai ‘king maker’ dalam kerajaan perpaduan ini, tetapi saya menganggap UMNO adalah ‘peace maker’ untuk sebuah kerajaan yang kukuh serta stabil untuk masa depan. Jangan kita termakan hasutan puak yang kononnya mendakwa ketuanan Melayu akan hilang bila UMNO bersama dalam kerajaan perpaduan yang turut dianggotai oleh DAP,” katanya.

Hakikatnya Malaysia merupakan sebuah negara dengan asal usul kaum yang pelbagai tidak akan tergugat, sebaliknya kemakmuran dikongsi bersama-sama antara orang Melayu, Cina, India dan kaum lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.