Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah

Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada dua pertuduhan jenayah komputer dan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian RM220,000, enam tahun lalu.

Hakim Datuk M. M. Edwin Paramjothy membuat keputusan itu terhadap Muhamad Shahrul Md. Sabri, 41, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” kata hakim itu. Lelaki tersebut ketika kejadian merupakan pengurus Malaysia Building Society Berhad (MBSB).

Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Shahrul didakwa telah melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang RM220,000 kepunyaan MBSB menggunakan kata nama dan kata laluan milik orang lain.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kerugian kepada MBSB mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara maksimium 10 tahun atau kedua-duanya.

Muhamad Shahrul turut didakwa membuat capaian kepada kandungan sistem MBSB Integrated Core Banking (MICOB) dan menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap data-datanya melibatkan wang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 5(1) akta serupa yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di MBSB di Presint 15, Putrajaya, antara pukul 8 pagi, 11 September dan 7 malam, 12 September 2017.

Dia turut didakwa sebagai seorang ketua bahagian jualan dan perkhidmatan MBSB cawangan Putrajaya yang diamanahkan dengan penguasaan harta syarikat iaitu wang RM220,000 telah melakukan pecah amanah wang tersebut.

Muhammad Shahrul didakwa melakukan perbuatan itu antara 10 Ogos dan 12 September 2017 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah dipanggil sejak kes mula dibicarakan pada 2019. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya