JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini mengetepikan hukuman sebatan ringan sebanyak tujuh kali yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap seorang remaja yang didapati bersalah menyebabkan kesakitan secara kejam terhadap seekor anjing, Mac lalu.
Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas melakukan semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada Braden Yap Hong Sheng, 19.
Pada 18 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman sebatan ringan sebanyak tujuh kali serta bon berkelakuan baik selama setahun selepas Braden Yap mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Peguam bela tertuduh, G.K. Sritharan memberitahu, Hakim Mahkamah Tinggi memanggil pihak pendakwaan dan pembelaan bagi mendengar prosiding semakan jenayah terhadap hukuman itu, hari ini.
“Mahkamah Tinggi telah membuat semakan jenayah dan mengubah hukuman sebatan tujuh kali itu dan sekarang hukuman yang tinggal hanya bon berkelakuan baik selama 12 bulan.
“Asas diberikan hakim mengikut perintah Seksyen 293 Kanun Prosedur Jenayah adalah tidak boleh ada dua hukuman kerana perkataan ‘atau’. Mahkamah Sesyen sebelum ini memberikan dua hukuman, iaitu satu sebatan dan satu bon, jadi ia tidak boleh,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah, di sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali. Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan hari ini untuk pelaksanaan hukuman sebatan ringan terhadap tertuduh.
Pada 12 April lalu, Braden mengaku bersalah menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwarna coklat di depan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, jam 1.49 pagi, pada 27 Mac lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama. – UTUSAN