Azman tidak sanggup khianati parti

Azman tidak sanggup khianati parti

AZMAN NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang wakil rakyat kerajaan menafikan spekulasi beliau antara nama yang dikaitkan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri ketika hangat dakwaan wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu dari Barisan Nasional (BN), Azman Noh menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, beliau tidak pernah didatangi atau berjumpa dengan mana-mana pihak berhubungan dakwaaan akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

LOMPAT

“Saya dapat tahu nama saya antara yang dikaitkan dengan khabar angin akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. Nama saya dipetik akan melompat seberang sebelah sana, dalam video di Youtube ada sebut (ADUN) Pengkalan Baharu juga termasuk.

“Hakikatnya, saya tak pernah didatangi oleh sesiapa dan saya pun tak pernah jumpa dengan sesiapa dalam urusan ini, tak pernah.

“Saya baru enam bulan dalam blok kerajaan, jadi, kurang sesuailah kalau nak kaitkan saya, tak betul tohmahan itu sebaliknya satu kepercayaan apabila saya dipilih bertanding, tak mungkin saya nak mengkhianati parti saya sendiri,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Azman berkata, spekulasi itu tercetus mungkin selepas beliau kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beruas pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

“Apabila saya kalah, itu mungkin mereka diputar belitkan mengatakan saya akan meninggalkan parti. Tak ada kena mengena saya kalah pada pemilihan parti pun, hasrat saya nak berbakti kepada seluruh masyarakat di Pengkalan Baharu.

“Kedudukan dalam parti tidak mengganggu gugat tahap sokongan saya terhadap kerajaan yang diketuai Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya,

Mengenai dakwaan pembangkang ada berjumpa dengan wakil rakyat kerajaan ketika hangat spekulasi perubahan kerajaan negeri, Azman berkata, dakwaan itu hanya untuk mengelirukan rakyat.

“Pada saya, dakwaan pembangkang itu menyebabkan rakyat keliru sebab proses pertukaran kerajaan pernah berlaku, jadi mereka rasa benda ini serius betul berlaku.

“Tapi bagi saya itu adalah taktik, helah pembangkang untuk PRN, mereka nak buat gimik politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN