PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Anwar memberitahu, semasa pertemuan tersebut, mereka berbincang mengenai isu-isu yang berkepentingan bersama termasuk kerjasama dalam sektor ekonomi, pertahanan, dan pembangunan infrastruktur.
Turut dibincangkan sektor pengangkutan, tenaga boleh baharu serta bersependapat untuk meningkatkan semula pertukaran lawatan di peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.
“Selain itu, kami juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan geopolitik,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Menurut Anwar, republik Korea merupakan salah satu rakan rapat dan penting bagi Malaysia.
Katanya, Park Jin pernah berkesempatan bertemu dengan saya semasa lawatan rasmi saya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke Seoul sekitar tahun 1996.
“Ketika itu, beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik dan penterjemah kepada mantan Presiden Republik Korea, Kim Young Sam.
“Moga lawatan ini mengeratkan hubungan selain memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri. –UTUSAN










