ANALISIS: Pas Terengganu mahu pecah 'badi' kerajaan sepenggal

ANALISIS: Pas Terengganu mahu pecah ‘badi’ kerajaan sepenggal

BENDERA parti Pas yang dipasang oleh jenteranya kini kelihatan di Kampung Buluh Gading sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu yakin dapat memecah ‘badi’ yang membelenggu parti itu selama ini apabila sekadar menjadi kerajaan sepenggal di negeri itu dalam sejarah pilihan raya di negeri ini.

Sehubungan itu, Pas dilihat bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) melebihi tempoh sepenggal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Kemenangan itu amat penting untuk memastikan Pas dapat kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pada penggal kedua berturut-turut selepas PRN ini.

Mengikut sejarah, Pas hanya menang sepenggal sahaja iaitu pada 1959 hingga 1961 dan 40 tahun selepas itu, Pas menang semula pada 1999 hingga 2004, kemudian Pas kalah lagi dan menang semula dalam 2018 sehingga sekarang.

Berdasarkan kemenangan besar Pas yang dicatatkan di Terengganu pada PRU15 lalu, Pas percaya ‘badi’ tersebut dapat dipecahkan dalam PRN ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Setiausaha Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, parti itu akan dapat mengekalkan kemenangan dua penggal berturut-turut, sekali gus memecah rekod baharu.

“Kali ini kita (Pas) yakin, insya-Allah Pas akan menang untuk penggal kedua berturut-turut,” katanya.

Dalam pada itu, Pas juga yakin mampu meraih kemenangan besar dengan memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang dipertandingkan dalam PRN ini.

Kemenangan luar biasa itu dapat dicapai berdasarkan keputusan PRU15 lalu apabila Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) memenangi semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Mengikut pecahan undi yang diterima oleh Pas mengikut peringkat DUN dalam PRU15, parti itu memperoleh kemenangan di 31 kerusi daripada 32 kerusi DUN dalam lapan kawasan Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, Pas tidak seharusnya memandang mudah untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai strategi untuk memburu kemenangan di kerusi DUN.

Pas akan kempunan dan ‘berputih mata’ untuk mencatat rekod baharu tersebut sekiranya tersilap percaturan pada PRN itu.

Pada PRU14 yang lalu Pas berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu manakala UMNO pula sebanyak 10 kerusi.

Selain Terengganu, terdapat lima negeri lain yang belum mengadakan PRN iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya